Anda di sini

Cabaran 4x4 Padawan lebih hebat, menarik

Advertisement

Penganjur ubah suai trek di BRS uji kepakaran pemanduan peserta, ketahanan kenderaan

 Ahmad (enam kiri) bergambar bersama penganjur dan sebahagian daripada pelumba selepas sidang media, semalam.
PASTI HEBAT: Ahmad (enam kiri) bergambar bersama penganjur dan sebahagian daripada pelumba selepas sidang media, semalam.

KUCHING: Cabaran 4x4 Antarabangsa Padawan 2017 yang akan diadakan dari 21 hingga 23 Julai ini di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) bakal menguji kepakaran pemanduan para pelumba yang mengambil bahagian.

 Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Dato Ahmad Ibrahim berkata bagi menjadikan cabaran kali ini lebih hebat dan menarik, penganjur telah mengubah suai trek di BRS sesuai dengan kehendak pelumba.

 “Para pelumba bakal menempuh pelbagai halangan yang jauh lebih mencabar berbanding edisi sebelumnya.

 “Kebanyakan pelumba dari luar negara dan mereka mahukan trek yang bukan sahaja mencabar skil pemanduan malah menguji ketahanan kenderaan mereka.

 “Saya difahamkan beberapa peserta telah meninjau trek perlumbaan dan mereka amat berpuas hati dan begitu teruja untuk memulakan perlumbaan,” katanya pada sidang media semalam.

 Menurut Ahmad, cabaran kali ini merangkumi tiga kategori iaitu Kumpulan A (modifikasi penuh), Kumpulan B (modifikasi separa) dan Kumpulan C (standard 4x4) yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM50,000.

 Antara lain, ia bertujuan menggalakkan sukan permotoran di Sarawak, mempromosi aktiviti permotoran ‘off-road,’ mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan belia di sini dan mengangkat sektor pelancongan sukan negeri.

 Melalui acara itu, pihak penganjur berharap untuk meningkatkan kemasukan pelancong ke Sarawak agar dapat menjana ekonomi kepada penduduk setempat melalui penjualan produk tempatan dan pelancongan.

 Edisi kedua cabaran itu dianjur dengan kerjasama MPP dan Staytuned Motorsports Club dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 Setakat ini, 40 pasukan dari Sarawak, Indonesia dan Brunei telah mengesahkan penyertaan.

 Menurut Ahmad lagi, cabaran itu dianjur serentak dengan Karnival Kebudayaan Bengoh (BCC) yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti Miss Culture Bengoh, pertandingan memukul gong, sukan rakyat, bazar makanan dan gerai pameran oleh pelbagai agensi kerajaan.

 Pengunjung ke BRS akan dikenakan yuran kemasukan berjumah RM2 setiap seorang yang boleh digunakan selama tiga hari untuk menyaksikan kedua-dua acara tersebut.

  • oleh
  • Advertisement