Anda di sini

Bajet 2018: Kerajaan rancang tumpu insentif cukai kepada Industri 4.0

Advertisement

Selaras usaha kerajaan mempromosi industri berteknologi tinggi

PUTRAJAYA: Kerajaan merancang untuk menumpukan persediaan Bajet 2018 kepada pemberian insentif cukai yang lebih berfokus bagi pembangunan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan dalam mempromosi industri berteknologi tinggi  bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh. 

Ia termasuk industri yang terbabit dalam bidang automasi, pembangunan robotik dan data besar

Menurut Johari, kerajaan tidak boleh memberi insentif cukai kepada semua pihak berikutan keadaan ekonomi semasa. 

Kita sudah tidak boleh bagi kepada semua industri, ia bergantung kepada kepentingan semasa dan masa depan negara,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Meningkatkan Pelaburan Swasta di sini, semalam.

Mesyuarat pertama itu melibatkan kumpulan fokus terdiri daripada pemain industri, dewan perniagaan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi persediaan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini.

Johari berkata, insentif cukai bertujuan menarik lebih ramai pemain industri berkecimpung dan menanam modal mereka ke dalam Industri 4.0. 

Ditanya mengenai komen beberapa pihak yang mengatakan pelabur tempatan tidak boleh terlalu teruja dengan pasaran China yang besar, beliau berkata, China dan Amerika Syarikat adalah dua negara yang dunia tidak boleh lari melakukan urusan perniagaan dengan mereka. 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat dan China masing-masing bernilai lebih AS$18 trilion dan AS$11 trilion. 

Malaysia pula berkedudukan strategik untuk memanfaat dan merebut peluang daripada pembangunan ekonomi di China dan daripada RM1.5 trilion jumlah perdagangan Malaysia, China menyumbang 16 peratus dari keseluruhan jumlah itu dan Amerika Syarikat sebanyak 9.3 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua negara terbabit bukanlah negara tumpuan utama perdagangan kerana Malaysia turut mempunyai peratusan perdagangan yang baik dengan negara ASEAN, Eropah, Jepun, Korea dan negara lain.

Kepada soalan adakah China kini menjadi pilihan utama sebagai pelabur asing di negara ini, Johari berkata, pelaburan dari China adalah berfokus dan sesuai dengan keperluan pembangunan negara masa kini. 

Kita lihat China kini aktif membuat pelaburan di banyak negara dan mereka datang ke Malaysia untuk membuat pelaburan  yang  khusus kepada pembangunan yang diperlukan negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement