Anda di sini

25 kelab takraw berentap buru kejuaraan Piala PEKEMA

Advertisement

KUCHING: Sejumlah 25 kelab sepak takraw bakal berentap bagi memburu kejuaraan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala PEKEMA Sarawak 2017 Regu Terbuka, Antara Kelab-Kelab di Sarawak yang akan diadakan dari 21 hingga 23 Julai di Dewan Sepak Takraw Kampung Bandung, Sibu.

 Setiausaha Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Polycarp J Garston berkata penyertaan datang dari beberapa bahagian negeri seperti Kuching, Betong, Bintulu, Miri, Sibu, Mukah dan Sarikei.

 “Kejohanan ini akan merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PEKEMA untuk menggalakkan masyarakat terutama golongan belia mempraktikkan gaya hidup sihat dengan bersukan.

 “Kita berharap melalui kejohanan ini, sukan sepak takraw kembali popular dalam kalangan masyarakat kerana ia merupakan sukan warisan,” katanya pada majlis penyerahan piala pusingan bertempat di ibu pejabat PEKEMA di sini semalam.

 Beliau bercakap mewakili Presiden PEKEMA merangkap Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) Dato Sri Abang Khalid Abang Marzuki.

 Menurut Polycarp lagi, kejohanan itu juga akan menjadi landasan pemilihan pemain Sarawak untuk bersaing pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Menteri Sarawak 2017, Jemputan Antarabangsa yang akan diadakan dari 3 hingga 6 Ogos di Stadium Bandaraya Miri.

 Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pasukan untuk memberikan persembahan terbaik dengan harapan dapat dipilih untuk mewakili negeri.

 “Kita menyeru warga Sibu dan kawasan berdekatan untuk turun beramai-ramai memberikan sokongan serta memeriahkan kejohanan itu nanti,” tambahnya lagi.

 Abang Khalid akan merasmikan pembukaan kejohanan hari ini, manakala ADUN Nangka yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee dijangka merasmikan majlis penutupan.

 Juara akan membawa pulang RM5,000 berserta medal manakala naib juara RM3,000 berserta medal.

 Tempat ketiga bersama akan menerima RM1,500 dan medal manakala empat pasukan kalah peringkat suku akhir masingmasing menerima RM500 dan medal.

Advertisement