Anda di sini

Terengganu kenal pasti 50 PKS untuk disenarai di Zon Perdagangan Bebas Digital

Advertisement

KUALA TERENGGANU: SME Corp Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah mengenal pasti sebanyak 50 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk disenaraikan dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kerjasama dengan pengasas Alibaba.com iaitu Jack Ma pada 22 Mac lepas.

Pengerusi YPU, Roslee Daud berkata, kerajaan negeri yakin platform Alibaba.com akan menjadi pemangkin cukup penting bagi melonjakkan lagi pencapaian, khususnya sektor PKS dalam usaha menembusi pasaran luar. 

PKS Terengganu berpeluang menjalankan perniagaan dalam talian dan tanpa sempadan secara lebih berkesan melalui zon eksklusif ini. 

PKS Terengganu harus melihat pasaran mereka bukan lagi di Malaysia semata-mata, tetapi di dunia. Oleh itu PKS perlu memastikan apa sahaja produk dan perkhidmatan yang mereka promosikan adalah berbeza dengan pesaing dan mampu menarik lebih ramai pelanggan, katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu di sini, semalam. 

Antara sektor yang diberikan fokus adalah bidang makanan dan minuman, percetakan digital dan tekstil.

Roslee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri berkata, antara kriteria yang dititikberatkan untuk disenarai dalam DFTZ ialah syarikat mestilah bertaraf tiga bintang ke atas mengikut Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) oleh SME Corp Malaysia. 

SCORE adalah kaedah penilaian diagnostik bagi mengukur dan meningkatkan daya saing syarikat PKS berdasarkan prestasi dan keupayaan, dikendalikan oleh juruaudit terlatih untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap syarikat.

Melalui SCORE, keupayaan syarikat akan diukur berdasarkan beberapa parameter berbeza mengikut sektor meliputi keupayaan pengurusan dan operasi, aplikasi teknologi, inisiatif pensijilan, keupayaan teknikal, kewangan dan pemasaran,” katanya. 

Sehingga kini, terdapat 152 syarikat bertaraf tiga bintang di Terengganu, 41 syarikat bertaraf empat bintang dan satu syarikat bertaraf lima bintang.

Selain itu, beliau berkata, syarikat itu juga mestilah mempunyai kualiti pembungkusan yang menarik dan bersesuaian serta mempunyai keupayaanpengeluaran bagi membekalkan produk dalam kuantiti yang besar.

Kriteria ini penting bagi memastikan kelangsungan PKS dalam memastikan mereka cukup bersedia memasarkan produk secara dalam talian.

Ini juga memperlihatkan daya saing syarikat yang sangat baik sekali gus mampu memperkenalkan produk PKS Terengganu ke luar bagi mewujudkan rantaian bekalan antara pembekal, penjual dan pembeli,” katanya. — Bernama

Advertisement