Anda di sini

SK Rantau Panjang sekolah luar bandar pertama terima mesin magnet nyamuk

Advertisement
 Andrew (dua kiri) bersama ahli lembaga yang lain melihat dengan lebih dekat mesin magnet nyamuk.
TINJAU: Andrew (dua kiri) bersama ahli lembaga yang lain melihat dengan lebih dekat mesin magnet nyamuk.

SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang menjadi sekolah luar bandar pertama diberi mesin magnet nyamuk oleh Lembaga Perkhidmatan Komuniti (LPK) Parti Rakyat Bersatu (UPP) Sibu, dalam usaha memerangi masalah denggi.

Pengerusinya Datuk Andrew Wong berkata, mesin magnet nyamuk itu akan dipasang di sekolah lain di luar bandar jika 0.5 hingga satu peratus nyamuk ditangkap nanti adalah nyamuk aedes.

Kita telah membuat kajian dan mendapati masalah denggi di kawasan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) tidak serius. Namun jika ada satu kes, kita beranggapan itu adalah satu masalah.

Oleh itu, kita membuat keputusan untuk memasang mesin magnet nyamuk di sini (SK Rantau Panjang) untuk melihat bagaimana keputusannya untuk sekolah di luar bandar,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Jelasnya, jika mendapati 0.5 atau satu peratus nyamuk ditangkap adalah nyamuk aedes, maka mesin berkenaan akan diberi kepada sekolah luar bandar.

Andrew ditemui selepas melancarkan mesin magnet nyamuk di SK Rantau Panjang. Hadir sama ialah Timbalannya Andrew Shilling serta ahli LPK UPP Sibu yang lain.

SK Rantau Panjang merupakan satu daripada lima sekolah pertama dipilih dipasang dengan mesin terbabit yang berharga RM8,500 setiap satu.

Empat sekolah lain ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart, Sekolah Jenis Kebangsaan Sacred Heart, SK Bandaran Sibu No.2 dan SJK Taman Rajang, kesemuanya terletak di kawasan bandar.

Menurut Andrew, usaha LPK itu diharap meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya denggi dan nyamuk aedes.

Ia juga sebahagian daripada usaha kita membantu kerajaan memerangi masalah denggi,” jelasnya sambil berharap lebih 70 sekolah dan taman komuniti dapat dipasang dengan mesin itu nanti.

Selain itu katanya, kawasan lain dilihat perlu diberi perhatian adalah Bandar Baharu Sibu Jaya, di mana lebih banyak kesedaran perlu dilakukan dalam kalangan penduduk mengenai masalah denggi.

LPK mempunyai bajet. Apa yang kita lakukan kini ialah menulis surat kepada sekolah dan taman komuniti untuk melihat minat mereka terhadap mesin ini.

Kita tidak mahu memaksa kerana setiap persatuan dan sekolah perlu bertanggungjawab terhadap mesin magnet nyamuk ini, iaitu menjaga mesin dan tong gas yang dibekalkan,” tambah Andrew.

Advertisement