Anda di sini

Remaja direman tiga hari bantu siasatan kes pecah rumah, curi

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan polis berhubung satu kes pecah rumah dan curi.

Suspek, 19, dari Kampung Pasir, Lutong diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan penolong pegawai penyiasat, Sarjan Syukri Sidi, pada 4 Jun lalu, seorang wanita telah membuat laporan polis berhubung rumah kakaknya yang telah dipecah masuk pencuri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 8.30 pagi hari sama, beliau ada menerima panggilan telefon daripada kakak menyatakan rumahnya telah dipecah masuk pencuri.

Pengadu bergegas ke lokasi dan mendapati rumah kakaknya telah dipecah masuk melalui pintu belakang. Manakala keadaan dalam rumah berselerak namun belum mengetahui barang-barang yang hilang.

Pada 13 Jun, kakak pengadu telah membuat satu laporan polis sebagai tambahan kepada laporan terdahulu yang dibuat oleh pengadu dengan menyebut barang-barang yang hilang seperti satu utas rantai emas berserta loket, tiga bentuk cincin emas, seutas gelang emas dan beberapa emas yang telah rosak.

Kerugian dianggarkan bernilai RM10,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 7.30 malam, 17 Julai lalu di Balai Polis Lutong, polis telah menangkap semula suspek yang diserahkan oleh bapanya.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas seutas rantai emas daripada milik suspek untuk dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Syukri memohon reman selama tujuh hari ke atas suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk menyiasat sejauh mana penglibatan suspek dalam jenayah ini dan suspek turut disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan berlaku di kawasan Lutong.

Justeru katanya membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 21 Julai ini untuk sebutan kes.

Advertisement