Anda di sini

Prestariang mahu kumpul RM1 bilion

Advertisement

Merealisasikan agenda transformasi dan melaksana SKIN yang bersepadu

KUALA LUMPUR: Prestariang Bhd berharap untuk mengumpulkan lebih RM1 bilion dari pasaran modal dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, bagi merealisasikan agenda transformasi ke atas platform teknologinya serta melaksanakan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Abu Hasan Ismail berkata, syarikat itu sedang dalam usaha pengumpulan sebelum memulakan pembangunan SKIN.

Kami mempunyai beberapa opsyen dan kami mungkin melihat kepada pengeluaran sukuk atau pinjaman berjangka langsung.

Kami ada banyak cadangan disebabkan ia melibatkan perniagaan konsesi. Pasaran modal akan menyukainya. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi,” katanya ketika memberi taklimat mengenai perkembangan Prestariang kepada media di sini semalam.

Syarikat tersebut, melalui subsidiari Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSkin), telah memeterai perjanjian konsesi selama 15 tahun dengan kerajaan, yang diwakili oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, bagi pelaksanaan SKIN, yang merupakan platform teknologi bersepadu bernilai RM3.5 bilion bagi memodenkan aplikasi utama dan infrastruktur sistem imigresen di negara ini.

Pembangunan SKIN, melalui kombinasi kepakaran dalaman serta usaha sama dengan rakan kongsi utama akan mengambil masa selama tiga tahun iaitu dari 2018 hingga 2020.

Pembangunan, pengoperasian, penyenggaraan dan pemindahan yang dibuat di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta, ini dianggap tidak memberikan sebarang risiko kepada kerajaan.

Kerajaan akan mula membayar selepas tiga tahun, iaitu selepas sistem berjalan sepenuhnya,” katanya.

Ini akan memberi kesan kepada tahun kewangan Prestariang berakhir 31 Dis 2021, dengan purata bayaran tahunan yang dianggarkan berjumlah RM294.7 juta dari tahun empat kepada tahun yang ke-15 semasa fasa operasi teknikal dan penyelenggaraan.

SKIN dijangka akan menyumbang secara positif kepada masa hadapan Prestariang dengan pendapatan yang stabil dan berulang, serta menjadi pemangkin kepada syarikat untuk menceburi pasaran serantau,” kata Abu Hassan.

Ditubuhkan pada tahun 2003 dan disenaraikan di Bursa Malaysia, kumpulan itu telah berkembang menjadi peneraju latihan dan badan perakuan untuk teknologi komunikasi dan maklumat serta pengedaran dan pengurusan lesen perisian untuk peneraju bakat dan teknologi.

Pelaburan dalam EduCloud, yang merupakan sebuah platform bakat untuk memperkasakan usahawan, pendidikan dan e-dagang, akan menjadi fasa baharu dalam transformasi perniagaan kami. Pelaburan boleh diperolehi daripada pendapatan yang terakru daripada perniagaan semasa kami,” kata beliau.

Melalui EduCloud, syarikat merancang untuk melancarkan projek perintis pada suku keempat dengan kerjasama daripada penyedia peranti awan terkemuka seperti Ali Baba Cloud, Amazon Web dan Microsoft.

Ia juga merancang untuk bekerjasama dengan gergasi teknologi kewangan dan membentuk perkongsian strategik dengan universiti-universiti awam serta swasta, termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara.

Secara keseluruhannya, Abu Hassan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 25 peratus, dalam tahun kewangan 2018 untuk segmen perkhidmatan dan perisian serta 100 peratus untuk latihan dan pensijilan.

Untuk operasi universiti, beliau meramalkan Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) akan mula mencatatkan titik pulang modal dalam tahun ini.

UniMY, merupakan universiti butik ICT pertama di negara ini, sekarang mempunyai 400 pelajar dan berharap untuk menggandakannya kepada 600 menjelang September. — Bernama

Advertisement