Anda di sini

Pensabitan dalam kes dagang manusia Thai

Advertisement

Mahkamah Jenayah Bangkok tangani 102 tertuduh dalam skandal antarabangsa libat pegawai

 Gambar fail 10 November, 2015 menunjukkan Manas dieskot para pegawai ketika tiba di Mahkamah Jenayah di Bangkok. — Gambar Reuters
MEMALUKAN: Gambar fail 10 November, 2015 menunjukkan Manas dieskot para pegawai ketika tiba di Mahkamah Jenayah di Bangkok. — Gambar Reuters

BANGKOK: Mahkamah Thailand mendapati ratusan tertuduh bersalah dalam kes pemerdagangan manusia semalam dalam perbicaraan besar-besaran yang menerokai hubungan di antara pegawai-pegawai yang korup, termasuk seorang jeneral kanan dalam angkatan tentera, dengan dagangan yang suram tetapi lumayan yang membabitkan pendatang Rohingya dan Bangladesh.

Hakim di Mahkamah Jenayah Bangkok semalam mulai menyampaikan beberapa keputusan untuk 102 defendan terbabit.

Seorang lagi tertuduh mati dalam tahanan reman.

Kesalahan itu termasuk pemerdagangan manusia, tebusan dan pembunuhan, di mana kesemua tertuduh menafikan tuduhan terhadap mereka.

Media dilarang daripada memasuki mahkamah, sebaliknya bergantung kepada penyampaian audio bagi prosiding yang rumit itu.

Hakim mengenakan sekatan laporan yang ketat ke atas kebanyakan keterangan, dengan menyebut kebimbangan tentang keselamatan negara.

Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Manas Kongpan, tokoh tertinggi dalam struktur keselamatan yang meliputi selatan negara, merupakan pegawai pangkat paling tinggi yang menghadapi perbicaraan.

Pada 2013 beliau dilantik untuk menjadi ketua Pemerintah Keselamatan Dalaman (ISOC) di selatan negara. Pemimpin junta sekarang Prayut Chan-O-Cha menjadi ketua angkatan tentera ketika itu.

Seorang lagi suspek yang didakwa raja dadah yang berpengaruh adalah Pajjuban Aungkachotephan, lebih dikenali sebagai Ko Tong atau ‘Abang Tong’.

Polis menuduhnya menggunakan pulau persendirian di Laut Andaman, berdekatan dengan tempat pelancongan seperti Koh Lipe, untuk membawa bot yang membawa pendatang ke tanah besar, di mana mereka diletakkan ke atas lori dan dibawa ke kem busuk yang terletak dekat sempadan Malaysia.

Seorang kapten tentera, empat pegawai polis berpangkat, seorang jururawat dan beberapa pegawai, termasuk datuk bandar Padang Besar dalam wilayah Satun, turut dituduh.

Pada waktu rehat tengah hari, 38 defendan sudah disabit kesalahan bagi pelbagai tuduhan termasuk memperdagangkan manusia dan perhambaan.

Di antara mereka adalah pengawal di kem hutan di mana pendatang ditahan, termasuk seorang lelaki Rohingya yang bertindak sebagai penterjemah, dan beberapa pegawai tempatan.

Peranan Thailand sebagai laluan pemerdagangan penting terbongkar selepas pegawai menjumpai puluhan kubur cetak di kem tersembunyi yang memenuhi bukit curam yang diliputi hutan di sempadan Thai-Malaysia pada Mei 2015.

Ia mendedahkan keadaan buruk yang dialami segelintir pendatang, yang kebuluran dan dikurung dalam kandang buluh oleh pemerdagang yang menuntut sebanyak AS$1,000 (RM4,500) untuk membebaskan mereka.

Keputusan mahkamah sedang dipantau dengan dekat di dalam dan di luar Thailand.

Ketua junta Prayut dengan marah menafikan kes itu mencerminkan rasuah yang sistemik dalam perkhidmatan keselamatan.

Manas sahaja tidak akan meruntuhkan seluruh angkatan tentera,” katanya kepada pemberita.

Pengkritik berkata kes itu diselesaikan terlalu awal dan menggambarkan perbicaraan yang dicemari ugutan ke atas saksi, pendengaran bukti secara sulit dan sekatan ke atas laporan media.

Pegawai kanan polis yang pada mulanya mengetuai siasatan, Mejar Jeneral Paween Pongsirin, meninggalkan Thailand selepas nyawanya diancam.

Beberapa hari sebelum beliau meninggalkan negara, beliau berkata kes itu telah ditarik balik sebelum ia dapat pergi lebih lanjut mengenai persubahatan pegawai.

Junta Thailand melancarkan operasi pada Mei 2015 untuk mengambil tindakan ke atas satu rangkaian yang menyeludup pendatang yang terdesak menerusi selatan Thailand untuk memasuki Malaysia, dan menahan beberapa pendatang sebagai tebusan dalam kem hutan.

Ia membongkar krisis di seluruh Asia Tenggara apabila ketua-ketua geng meninggalkan kargo manusia dalam kem di mana ratusan mati akibat kebuluran dan malaria, dan di laut dalam bot yang penuh sesak yang kemudian ditendang ke sana sini antara perairan Thai, Malaysia dan Indonesia.

Kumpulan hak asasi manusia sudah lama menuduh pegawai kerajaan tidak peduli dan malah mendalangi dagangan manusia menerusi wilayah selatan Thailand.

Kawasan itu merupakan hubungan penting dalam jejak penjenayah yang meliputi kawasan dari Myanmar ke Malaysia.

Operasi berkenaan mendedahkan jaringan orang tentera, polis, politik tempatan dan mafia yang bertindak sebagai pemerdagang, ejen dan orang lojistik, semua mengaut wang dari pendatang yang merupakan antara golongan paling miskin dan paling lemah di Asia.

Puluhan ribu orang Islam Rohingya yang tiada negara meninggalkan negara jiran Myanmar sejak keganasan sektarian pada 2012.

Mereka disertai pendatang ekonomi dari Bangladesh dalam bot yang rapuh menuju ke selatan dengan merentasi Laut Andaman, untuk mencari kerja dan pelindungan di Malaysia dan Indonesia.

Ribuan dipercayai mati di laut, dalam aliran pendatang yang tidak menarik perhatian sesiapa sehinggalah tindakan diambil ke atas pemerdagangan manusia pada 2015. — AFP

Advertisement