Anda di sini

Pemain industri elektrik dan elektronik disaran manfaatkan MIMOS-NCIA ACDC

Advertisement
 Abu Bakar (tengah) melancarkan Pusat Pembangunan Kompetensi Termaju MIMOS-NCIA (MIMOS-NCIA ACDC) di MIMOS Berhad Teknologi Park, Bukit Jalil, kelmarin. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Abu Bakar (tengah) melancarkan Pusat Pembangunan Kompetensi Termaju MIMOS-NCIA (MIMOS-NCIA ACDC) di MIMOS Berhad Teknologi Park, Bukit Jalil, kelmarin. — Gambar Bernama

BUKIT JALIL: Pemain industri elektrik dan elektronik tempatan perlu memanfaatkan MIMOS-Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Pusat Pembangunan Kompetensi Termaju (ACDC) (MIMOS-NCIA ACDC) untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi bertaraf dunia bagi Industri 4.0.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata penting untuk memanfaatkan teknologi yang dimiliki bagi mengekalkan pertumbuhan sektor tersebut.

Katanya ia menjadi pemacu utama pembangunan industri di Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM288 bilion atau 36.7 peratus daripada jumlah eksport negara pada 2016.

Katanya penggunaan teknologi dan inovasi juga perlu disegerakan malah digunakan pada tahap optimum dalam usaha mencapai tahap rantaian nilai sektor pembuatan yang lebih tinggi.

Oleh itu, besar harapan saya pelancaran MIMOS-NCIA ACDC hari ini (kelmarin) akan menjadi pemudahcara yang berperanan membantu meningkatkan kecekapan sektor elektrik dan elektronik ke arah ekonomi baharu.

Pusat ini dijangka mampu menghasilkan 2,000 tenaga kerja profesional dalam bidang elektrik dan elektronik dalam tempoh lima tahun serta menjadikan Malaysia sebagai hab sektor pembuatan serantau sekaligus mencetus transformasi sektor itu di negara ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah pada majlis pelancaran MIMOS-NCIA ACDC di Technology Park Malaysia, di sini kelmarin.

MIMOS-NCIA ACDC yang diwujudkan hasil kerjasama MIMOS Berhad dan NCIA merupakan pusat pembangunan modal insan yang menawarkan kemudahan latihan industri berteknologi tinggi bertaraf dunia.

Turut diadakan pada majlis itu ialah pertukaran Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Perkongsian Strategik antara MIMOS bersama SIRIM Berhad, Agensi Inovasi Malaysia, Universiti Malaya dan beberapa syarikat swasta lain. — Bernama

Advertisement