Anda di sini

Kelab Perahu Naga Kuching wakili Sarawak ke perlumbaan di Langkawi

Advertisement
 Abdul Karim (tengah) bergambar bersama para pekayuh selepas majlis penyerahan bendera di pejabat beliau.
KIBAR CABARAN: Abdul Karim (tengah) bergambar bersama para pekayuh selepas majlis penyerahan bendera di pejabat beliau.

KUCHING: Kelab Perahu Naga Kuching terpilih untuk mewakili Sarawak pada Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa, Langkawi 2017 yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Julai ini.

 Pasukan disertai seramai 33 pekayuh campuran lelaki dan wanita itu akan menyertai tiga acara pada perlumbaan turut disertai 12 negara termasuk Malaysia melibatkan keseluruhan 50 pasukan.

 Semalam berlangsung majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Pengurus Kelab berkenaan, Chew Kim Soon.

 Ia turut dihadiri Timbalan Setiausaha Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jee Chin Fu.

 Semasa sidang media semalam, Abdul Karim berkata ia kali pertama Kelab Perahu Naga Kuching menyertai perlumbaan bertaraf antarabangsa yang turut disertai ramai pasukan ternama.

 Sehubungan itu, beliau menyeru pekayuh kelab tersebut memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Sarawak pada perlumbaan kali ini.

 “Berikan cabaran kepada pasukan lain dan harumkan nama Sarawak di pentas antarabangsa.

 “Pihak kementerian berharap Kelab Perahu Naga Kuching dapat memberikan saingan kepada peserta lain dan menjadi duta Sarawak di mata dunia,” katanya semalam.

 Bagi Chew, pekayuh kelab itu mampu mencapai misi yang telah mereka tetapkan bersandarkan kepada pengalaman serta persiapan rapi mereka sebelum ini.

 Akui bakal berdepan cabaran sengit dari peserta negara lain, Chew tetap optimis untuk membawa pulang sesuatu sebagai hadiah istimewa buat Sarawak.

Advertisement