Anda di sini

Jangan hanya tunggu bomba buat pemeriksaan keselamatan

Advertisement
 Wan Mohd Nor bersama penerima Pingat Ketua Pengarah Bomba, Ahmad Izram Osman (dua kanan) yang merupakan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM pada majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM 2016 di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
TAHNIAH: Wan Mohd Nor bersama penerima Pingat Ketua Pengarah Bomba, Ahmad Izram Osman (dua kanan) yang merupakan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM pada majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM 2016 di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Setiap penghuni, pengguna dan pemilik premis bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan kebakaran di premis masing-masing dan tidak hanya menunggu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemeriksaan, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. 

Beliau berkata pihak pengurusan bangunan tinggi perlu bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan bangunan tidak diabaikan. 

Jangan salahkan JBPM yang tidak membuat pemeriksaan. JBPM hanya mampu memeriksa 15,000 premis setahun dan terdapat lebih 200,000 premis di seluruh negara. JBPM tidak boleh memeriksa kesemuanya serentak,” katanya ketika mengulas laporan media baru-baru ini yang mengatakan bangunan tinggi di Lembah Kelang terdedah kepada risiko kebakaran seperti tragedi Grenfell Tower di London bulan lepas. 

Wan Mohd Nor yang ditemui selepas istiadat pengurniaan pingat kebesaran JBPM kepada 394 individu di ibu pejabat JBPM di sini semalam berkata JBPM akan mengeluarkan notis dan pemakluman kepada pemilik bangunan apabila pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan pada bangunan tersebut seperti pintu rintangan api dalam keadaan tidak baik. 

Jika pemeriksaan kedua mendapati kesalahan itu masih tidak dibetulkan, maka pemilik bangunan itu akan didakwa di mahkamah. Tahun lepas, 250 kes selesai dibicarakan dan dan jumlah denda yang dikenakan ialah RM500,000. Untuk tahun ini, setakat ini 119 kes telah dibawa ke mahkamah dengan denda RM218,000,” katanya.

Mengulas mengenai tragedi Grenfell Tower di London bulan lepas, Wan Mohd Nor berkata bangunan tinggi di Malaysia tidak dibenarkan menggunakan satu laluan sebagaimana Grenfell Tower. 

Beliau berkata, Grenfell Tower yang terbakar dan mengorbankan lebih 100 nyawa merupakan sebuah bangunan lama yang mempunyai satu tangga sahaja di tengah bangunan. — Bernama 

Advertisement