Anda di sini

Enam hingga lapan orang bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia bunuh diri

Advertisement

KUCHING: Dianggarkan enam hingga lapan orang bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri atau tujuh kes sehari.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Profesor Nor Zuraida Zainal berkata angka itu juga telah menyaksikan lebih 2,000 rakyat Malaysia mati kerana bunuh diri setiap tahun.

Beliau berkata kes bunuh diri di Malaysia kebanyakannya melibatkan golongan muda dan trend itu kini semakin membimbangkan.

Justeru ujarnya, cubaan atau kes bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi masalah kesihatan umum yang harus dipandang serius dan ditangani secara berkesan.

Walaupun kadar bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah berbanding kadar dunia iaitu lebih 20 orang bagi setiap 100,000 penduduk, tidak bermakna kita harus duduk diam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Kongres Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) Sedunia Ke-29 dan Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia (MCPM) Ke-21 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta turut dihadiri Pengarah Bahagian Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Dadah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Sekhar Saxena, Presiden IASP Profesor Ella Arensmen serta Konsultan Psikiatri Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ismail Drahman yang juga pengerusi penganjur dan pengerusi bersama jawatankuasa penganjur.

Zuraida berkata antara faktor mendorong rakyat negara ini nekad membunuh diri ialah kemurungan ditambah tiadanya sokongan daripada pelbagai pihak terutama keluarga.

Tingkah laku atau cubaan bunuh diri tidak hanya didorong oleh satu faktor tetapi wujud faktor-faktor lain, sebab itulah ia sangat kompleks,” ujarnya.

Mengenai kongres itu, beliau berkata ia diadakan buat julung kalinya di Malaysia dan memilih bandar raya Kuching sebagai lokasi kerana keindahan alam semula jadinya.

Tambahnya, Malaysia atau Kuching lokasi yang sesuai kerana negara kita turut mengalami impak krisis ekonomi dunia serta isu lain yang menjejaskan kualiti hidup rakyat.

Seramai 550 delegasi daripada 60 negara menyertai kongres yang berlangsung selama lima hari itu, 18 hingga 22 Julai.

Advertisement