Anda di sini

Empat geng tumpas

Advertisement

Polis Bau berkas 14 anggota kumpulan dipercayai aktif lakukan jenayah di bahagian selatan negeri.

 Sabri (dua kanan) menunjukkan motosikal yang berjaya dirampas daripada suspek yang ditahan di Kampung Musi. Turut kelihatan (dari kanan) Benedict, Damataries, Mahadir dan Ali.
KEJAYAAN: Sabri (dua kanan) menunjukkan motosikal yang berjaya dirampas daripada suspek yang ditahan di Kampung Musi. Turut kelihatan (dari kanan) Benedict, Damataries, Mahadir dan Ali.

BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau berjaya menumpaskan empat geng curi motosikal dengan tertangkapnya 14 anggota kumpulan terbabit yang dipercayai aktif melakukan jenayah di bahagian selatan negeri dalam beberapa siri operasi sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata, terbaharu ialah sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai ‘Geng IS’ di mana tiga ahli mereka termasuk ketuanya berjaya ditangkap selepas kegiatan mereka terbongkar di Kampung Musi pada Isnin lepas.

Menurutnya, tiga lagi kumpulan ialah ‘Geng Endot’ terdiri daripada lima anggota, ‘Geng Aley’ (4) dan ‘Geng Epandi’ (2) dengan kebanyakan ahli kumpulan adalah warga asing.

Bagi ‘Geng IS,’ seorang daripada ahlinya berjaya ditangkap pada petang Isnin lepas, apabila anggota unit kereta peronda (MPV) kita menyerbu sebuah rumah kosong di Kampung Musi selepas menerima laporan daripada orang awam yang mencurigai kehadiran mereka.

Semasa serbuan dilakukan, dua ahli geng terbabit berjaya melarikan diri ke dalam semak.

Rentetan itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan bantuan Unit K9 telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjejaki dua suspek terbabit yang akhirnya berjaya ditangkap pada kira-kira jam 6 pagi semalam (Selasa) iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian (Musi),” ujarnya pada sidang media di IPD Bau, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah ASP Benedict Faris Jimoy, Ketua Bahagian Cawangan Khas ASP Damataries Lautin, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ASP Jospal Selagie serta Ketua Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Inspektor Mahadir dan Pegawai Penyiasat Inspektor Ali Rahman.

Sabri turut mengesahkan dua ahli kumpulan terbabit merupakan warga Indonesia dan seorang lagi yang dipercayai ketua kumpulan merupakan warga tempatan berusia sekitar 30-an.

Selain itu, kita turut merampas empat motosikal yang ditemui di tempat kejadian (Musi), di mana kesemua motosikal tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empatnya pernah dilaporkan hilang di Tabuan Jaya, Sekama dan Batu Kawa,” jelasnya.

Selain itu, Sabri memberitahu seramai sembilan daripada 14 ahli empat geng terbabit kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Kita percaya banyak kes kecurian motosikal dapat diselesaikan dengan tumpasnya geng-geng ini terutamanya di kawasan selatan negeri ini dan untuk siasatan lanjut, sembilan daripada mereka kini ditahan di bawah Akta POCA.

Hasil siasatan awal turut mendapati dua daripada mereka yang merupakan lelaki warga Indonesia juga disyaki ahli ‘Geng Rantau’ yang terlibat melakukan kes samun berkumpulan,” jelasnya lagi.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah khususnya di Daerah Bau yang dekat dengan pintu sempadan.

Dalam perkembangan lain, Sabri memberitahu seramai 103 individu ditahan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Semua yang ditahan termasuk seorang pengedar, 29 orang kerana memiliki dadah serta 73 ditahan kerana positif dadah dan kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tidak dinafikan, terdapat juga golongan pelajar yang ditahan dan kita telah mengambil tindakan yang sepatutnya,” kata Sabri.

 Sabri bersama pegawainya memeriksa sebuah motosikal yang dirampas.
PERIKSA: Sabri bersama pegawainya memeriksa sebuah motosikal yang dirampas.
  • oleh
  • Advertisement