Anda di sini

Dua pondan didenda kerana tawar khidmat seks

Advertisement

Mengaku mengenakan bayaran RM250 ke atas seorang lelaki bagi tujuan pelacuran di hotel bajet

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau empat minggu penjara masing-masing ke atas dua pondan selepas didapati bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki pada Sabtu lepas.

Hendra Hendry dari Lubok Antu, 18, dan Muhammad Effendy Zakariya, 23, dari Kampung Batu Muda Kuala Lumpur, didakwa bersama di mahkamah selepas mengaku bersalah ke atas tuduhan tersebut.

Mereka disabit kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka mengakui mengenakan bayaran RM250 ke atas seorang lelaki bagi tujuan pelacuran di sebuah hotel bajet di Jalan Song Thian Cheok di sini, sekitar jam 9.40 malam pada 15 Julai lalu.

Dalam fakta ringkas kes yang dikemukakan oleh pegawai pendakwa polis Inspektor Yunus Sahak, serbuan telah dilakukan ke atas bilik berkenaan dan tiga lelaki telah ditahan.

Kedua-dua lelaki yang menyerupai wanita dan seorang individu lain yang dipercayai pelanggan mereka, tidak berpakaian dan separuh bogel.

Polis turut menjumpai kondom baharu dan terpakai, resit bayaran dan wang tunai RM250 dalam bilik tersebut yang diambil sebagai bahan bukti dan dikemukakan kepada mahkamah semalam.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah mereka menyesal dan mereka adalah penyara tunggal keluarga selain berjanji tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

Mereka berkata kesalahan itu adalah yang pertama.

Yunus menggesa agar hukuman sewajarnya dijatuhkan ke atas tertuduh.

Mahkamah mengarahkan agar kondom yang dirampas dimusnahkan.

Advertisement