Anda di sini

Dua lelaki mengaku bersalah bergaduh di tempat awam

Advertisement

MIRI: Gara-gara bergaduh di tempat awam, dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM500 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang mereka lakukan serta mengambil kira kepentingan awam.

Wong Kah Lee dan Sii Huo Hook, 41, dari Wah Shin Garden di sini telah didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua tertuduh telah melakukan gaduh gempar dengan cara bergaduh di tempat awam hingga mengganggu ketenteraman awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam, 13 Julai lalu di kawasan sebuah kedai di Jalan Cressandra di sini.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki harta curi.

Tan Hua Kui, 35, dari Taman Interhill di sini telah dituduh memiliki harta curi iaitu sebuah basikal lumba jenama Polygon bernilai RM5,000 yang merupakan kepunyaan Azrin Mohamad Effandy, 33.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai di Pusat Komersil Bintang Jaya di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement