Anda di sini

Denda pegawai JPJ langgar undang-undang jalan bukti ketelusan

Advertisement

JOHOR BAHRU: Tindakan mahkamah mengenakan denda ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melanggar undang-undang jalan raya membuktikan ketelusan sistem perundangan negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata keputusan mahkamah tersebut juga menunjukkan setiap individu di negara ini tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira kedudukan dan latar belakangnya.

Siapa yang melanggar peraturan dia akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, dan kita juga mahu berlaku  adil kepada semua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Netherlands Maritime Institute of Technology, di sini semalam.

Ab Aziz mengulas laporan media kelmarin berhubung tindakan saman RM600 yang dikenakan Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob selepas beliau mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan, baru-baru ini.

Mengulas isu lain, Ab Aziz yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata beliau yakin enam tokoh yang dilantik sebagai anggota panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara akibat urus niaga mata wang asing pada 1990-an lalu, mampu menyelesaikan isu itu.

Ini kerana kata beliau kesemua mereka mempunyai kredibiliti tinggi.

Saya yakin dia (penubuhan RCI) boleh menyelesaikan masalah dan isu forex ini kerana rakyat hendak tahu apa yang berlaku sebenarnya. 

Kita tidak mahu perkara-perkara sebegini dilindungi kerana ia sudah menjadi satu isu. Jadi kena telus kepada semua,” katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan enam anggota panel RCI  tersebut yang bertujuan menentukan kesahihan dakwaan kerugian akibat perdagangan mata wang asing yang dialami bank pusat itu pada 1990-an serta kesannya kepada ekonomi negara. — Bernama

Advertisement