Anda di sini

Belantara di barat Kanada terus dijilat api

Advertisement

Puluhan ribu penduduk tidak dapat pulang ke rumah apabila kebakaran terus marak

 Agen perencat kebakaran berwarna perang menyelimuti bandar Cache Creek, British Columbia yang dikosongkan sejak 12 hari lalu. — Gambar Reuters
LENGANG: Agen perencat kebakaran berwarna perang menyelimuti bandar Cache Creek, British Columbia yang dikosongkan sejak 12 hari lalu. — Gambar Reuters

MONTREAL: Puluhan ribu orang yang lari dari kebakaran belantara di barat Kanada tidak dapat pulang ke rumah mereka kelmarin selepas kebakaran terus marak.

Pegawai berkata 155 kebakaran masih membara di wilayah British Columbia, di mana api sudah menjilat lebih 327,000 hektar hutan dan tanah yang tidak dipelihara.

Daripada kebakaran yang aktif, 15 peratus “benar-benar mengancam masyarakat”, kata jurucakap bomba British Columbia, Kevin Skrepnek.

Walaupun sejumlah kecil orang dapat kembali ke rumah mereka, kira-kira 46,000 orang masih tinggal di tempat sementara disebabkan oleh kebakaran itu.

Kira-kira 1,000 penduduk Cache Creek, kira-kira 100 kilometer ke barat Kamloops, dapat pulang ke rumah 11 hari setelah mereka mula-mula dipindahkan, tetapi di bawah amaran bahawa mereka mungkin perlu lari lagi dengan notis singkat.

Penduduk perlu diingatkan bahawa perkampungan Cache Creek masih dikenakan amaran evakuasi,” pihak berkuasa tempatan menyebut dalam satu kenyataan. “Sementara kebakaran Ashcroft masih aktif, penduduk mesti bersiap sedia untuk pergi pada bila-bila masa.”

Keluarga yang pulang ke rumah bakal menerima bantuan kira-kira sebanyak CAN$600 (RM1,980) dari Persatuan Palang Merah, kata pegawai Transport Canada, Robert Turner.

Di Kamloops sendiri, sebuah bandar dengan kira-kira 100,000 penduduk yang terletak 350 kilometer ke timur laut Vancouver, sukarelawan dan jabatan kecemasan bersiap sedia untuk menerima ribuan penduduk yang dipindahkan.

Makanan dan air diedarkan di bawah penutup kanvas, manakala penduduk yang dipindahkan ditawarkan kaunseling atau dibantu mengisi borang ganti rugi.

Ratusan katil bayi disediakan dalam sebuah dewan sukan besar bagi penduduk yang dipindahkan, ada di antaranya tiba sejauh Williams Lake, 300 kilometer ke timur laut.

Kira-kira 3,000 anggota bomba serta 220 helikopter dan pesawat pemadam kebakaran sedang memadamkan kebakaran, dan tenaga tambahan dijangka tiba dari tempat lain di negara itu.

Di lereng timur Rocky Mountains, kebakaran memaksa penutupan sebahagian daripada beberapa taman negara yang paling berharga di Kanada, seperti Banff dalam wilayah Alberta, yang dikunjungi kira-kira empat juta pelancong setiap tahun.

Sebahagian Taman Negara Banff sudah ditutup kepada umum sejak Isnin lepas.

Seperti California jauh ke selatan, British Columbia, di pantai Pasifik Kanada dan bersempadan dengan Amerika Syarikat, cenderung mengalami kebakaran hutan. Namun kebakaran pada tahun ini hampir dekat dengan skala kebakaran yang berlaku pada 2003 apabila lebih 50,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka.

California sendiri mengalami kebakaran berleluasa sejak beberapa hari lalu, dengan kilat berhampiran Taman Negara Yosemite yang mencetuskan kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan seluas 26 kilometer persegi. — AFP

Advertisement