Anda di sini

TKP JPJ didenda RM600 kerana memandu di lorong kecemasan

Advertisement

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan memandu di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya, Oktober tahun lepas.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusoff, 58, yang tidak hadir ke mahkamah, selepas pegawai khas yang mewakilinya, mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan Yusoff yang merupakan Orang Kena Saman menjalani hukuman penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Yusoff,  yang memandu sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran BLY 68 didakwa memandu di lorong kecemasan pada jam 6.27 petang,  7 Okt 2016.

Beliau dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Unit Pendakwa JPJ Selangor, Mohd Hafizuddin Mohd Lutfi. — Bernama

Advertisement