Anda di sini

Speaker Parlimen antara suspek kes IC Indonesia

Advertisement

Kerajaan alami kerugian besar setelah dana digelapkan

JAKARTA: Speaker Parlimen Indonesia semalam menafikan dakwaan bahawa beliau membantu menyebabkan kerugian besar kepada negara berhubung pengeluaran kad pengenalan (IC) elektronik.

Setya Novanto, pengerusi parti politik kedua terbesar di Indonesia Golkar, membuat penafian tersebut kepada wartawan selepas mesyuarat dengan para pemimpin Dewan Perwakilan.

Beliau berkata, beliau membaca laporan media yang menyatakan namanya disebut Suruhanjaya Pembasmian Korupsi (KPK) lewat kelmarin sebagai suspek dalam kerugian yang dialami kerajaan sebanyak sekurang-kurangnya Rp2.3 trilion daripada program tersebut.

Kes rasuah tersebut turut membabitkan ahli politik kanan lain, termasuk menteri undang-undang, bekas menteri dalam negeri dan beberapa gabenor.

Pengarah KPK Agus Rahardjo berkata, Setya didakwa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk keuntungan peribadi atau untuk kepentingan sebuah badan korporat.

Penyiasat mendakwa Novanto antara ramai ahli politik yang menerima habuan daripada dana yang diperuntukkan untuk projek kerajaan yang mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada 255 juta penduduk di negara itu.

Mahkamah antirasuah khas Indonesia berkata, lebih satu pertiga daripada dana Rp5.9 trilion (RM2 bilion) digelapkan jaringan ahli politik dan ahli perniagaan dalam skim yang didakwa dijalankan dari 2009 hingga 2015.

Novanto merupakan suspek keempat yang diumumkan dalam kes itu, yang boleh menjadi ujian terhadap kesediaan Presiden Joko Widodo untuk mengambil pendirian tegas mengenai rasuah memandangkan kebanyakan mereka yang terlibat adalah pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan berpengaruh.

Novanto pernah dinamakan sebagai suspek dalam satu lagi kes rasuah yang memaksanya untuk meletak jawatan sebagai speaker pada 2015 apabila beliau dituduh memeras pegangan dari syarikat pelombongan gergasi Amerika Syarikat, Freeport-McMoran, sebagai balasan untuk melanjutkan hak syarikat tersebut untuk beroperasi di kepulauan tersebut.

Beliau dibersihkan daripada dakwaan tersebut dan dilantik semula pada 2016.

Indonesia menduduki tempat ke-90 daripada 176 negara dan wilayah dalam Indeks Persepsi Rasuah badan bukan kerajaan (NGO) Transparency International pada tahun lepas.

Penarafan nombor satu bermakna negara itu paling tidak korup. — AFP

Advertisement