Anda di sini

Mangsa Sang bedal ditemui

Advertisement

Mayat warga Indonesia ditemui 250 meter dari lokasi serangan, ada kesan gigitan di kaki.

 Anggota penyelamat membalut mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Betong.
TRAGIS: Anggota penyelamat membalut mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Betong.

PUSA: Mayat mangsa serangan buaya di Sungai Plasan, Beladin di sini berjaya ditemui kira-kira 250 meter dari tempat kejadian oleh penduduk kampung serta anggota penyelamat semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 11.30 pagi dengan kesan kecederaan dipercayai gigitan buaya di bahagian kakinya.

Mangsa disambar buaya ketika sedang memancing dan ditemui oleh orang awam kira-kira 250 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan gigitan buaya pada bahagian kakinya.

Kaedah pencarian ‘surface water searching’ telah dijalankan di sekitar tujuh kilometer ke hilir dan tujuh kilometer ke hulu sungai berkenaan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan sejak hari pertama kejadian dilaporkan,” ujarnya.

Tambahnya, SAR turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, penduduk kampung serta pekerja di ladang tempat mangsa bekerja.

Sementara itu, APM dalam kenyataannya di sini memberitahu kejadian berlaku pada 13 Julai lalu sekitar jam 5 petang apabila mangsa bersama saudaranya yang pulang dari kerja singgah di sungai tersebut untuk memancing.

Bagaimanapun, sekitar jam 6.30 petang, mangsa telah disambar buaya dan kejadian tersebut disaksikan oleh saudaranya yang juga cuba menyelamat mangsa tetapi gagal.

Selepas puas mencari mangsa, saudaranya yang dikenali sebagai Jusran berusia 21 tahun kemudian membuat laporan polis dan operasi SAR dilancarkan selepas itu, “ katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Sulaiman berusia 25 tahun dan berasal dari Bulukumbar, Indonesia kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.

 Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa dari tempat dia ditemui.
DITEMUI: Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa dari tempat dia ditemui.
  • oleh
  • Advertisement