Anda di sini

Rabies ragut nyawa keempat

KUCHING: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 2.05 petang, hari ini.

Kematian mangsa disahkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini, akibat rabies encephalomyelitis.

Mangsa, Florencesia Edward meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sejak 4 Julai lalu.

Kanak-kanak itu mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban di Serian, sebelum mengalami gejala demam, sakit di lengan kiri serta kelihatan kurang aktif pada 3 Julai dan dibawa untuk rawatan ke Hospital Serian.

Dia kemudian dirujuk ke HUS sebelum dipindahkan ke PICU pada keesokan harinya (4 Julai) apabila keadaannya semakin kritikal dan disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal pada 11 Julai.

Mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS sebelum dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Ampungan, Serian untuk upacara pengebumian.

Korban keempat rabies dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HUS
Korban keempat rabies dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HUS

Setakat ini, sebanyak empat kes jangkitan rabies dicatatkan, dimana kesemua mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun telah meninggal dunia.

Alicesa Lorenna Nody, 7 dari Kampung Lebor, iaitu mangsa ketiga dijangkiti virus rabies, meninggal dunia selepas mesin bantuan hayat dihentikan pada Khamis lepas.

Manakala dua adik beradik dari Kampung Paon Rimu, Monica Mazlan, 6 dan Jackson Mazlan, 4 meninggal dunia pada 4 Julai lepas.

Sementara itu, sebanyak 24 kes gigitan baru dikesan hari ini, menjadikan kesemua kes direkodkan dari 2 hingga 17 Julai sebanyak 97 kes, manakala dari tempoh 1 Julai hingga hari ini, 368 kes dicatatkan.

Setakat ini juga, seramai 251 orang telah tampil untuk mendapat vaksin bagi mencegah penularan penyakit rabies.

Buat masa ini, vaksin diberikan kepada kes gigitan anjing dan kucing di kawasan wabak yang memenuhi kriteria klinikal.

Masyarakat turut diseru untuk tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran serta mengelakkan diri daripada bermain dengan haiwan tersebut meskipun ia telah diberi vaksin.

“Mereka yang digigit anjing atau haiwan terutamanya dari kawasan terlibat diminta tampil ke Hospital Serian bagi pemeriksaan lanjut dengan kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.

Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVS) telah memvaksinkan 7,655 ekor haiwan peliharaan yang terdiri daripada 2,205 ekor anjing, 5,424 ekor kucing dan 26 ekor haiwan lain.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 545 ekor anjing dan 1,174 ekor kucing divaksinasi dalam program pemvaksinasi anjing dan kucing untuk penduduk Serian, kelmarin.