Anda di sini

Nilai tanah di Batu Kawa dijangka lebih tinggi pada masa depan

Advertisement

KUCHING:Pemilik tanah di kawasan Batu Kawa dinasihat agar tidak menjual tanah mereka ketika ini kerana nilainya dijangka lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata nilai tanah di Batu Kawa akan menjadi lebih mahal kerana ia menjadi kawasan tumpuan projek-projek pembangunan.

Jika anda mempunyai sebidang tanah di Batu Kawa, jangan dijual. Jika anda perlu menjualnya, jual kepada saya,” katanya dengan nada berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Kampung Stapok dekat sini semalam.

Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata antara projek dirancang dibangunkan di konstituensinya ialah Batu Kawa Lagoon, Taman Riverbank dan projek perumahan mampu milik.

Tambahnya, projek-projek pembangunan lain termasuk pembinaan balai polis, balai bomba serta Klinik 1Malaysia.

Menurutnya pembinaan projek cadangan Klinik 1Malaysia akan bermula dalam waktu terdekat ini dan apabila siap kelak ia akan memberi manfaat kepada penduduk di Batu Kawa serta kawasan sekitarnya.

Dalam perkembangan lain Dr Sim berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengenai cadangan menempatkan pejabat residen di bangunannya sendiri.

Beliau berkata pejabat residen berhak mempunyai premis sendiri bukannya berkongsi kemudahan dengan organisasi lain di Kompleks Islam Sarawak.

Saya mahu berbincang dengan Ketua Menteri mengenai cadangan memindahkan pejabat residen ke Batu Kawa. Terdapat sebidang tanah lebih 100 ekar di Batu Kawa yang boleh digunakan bagi tujuan ini.

Ketika ini pejabat residen membayar sewa bagi pejabat yang digunakan ketika ini,” katanya.

Majlis itu dianjur bersama Persatuan Komuniti Bumiputera Batu Kawa, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kawa dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Stapok.

Hadir sama Pengasas Persatuan Komuniti Bumiputera Batu Kawa Ferdinand Janting Maurice dan pengerusi penganjur Narawi Salleh.

Advertisement