Anda di sini

Kepimpinan Pakatan Harapan berkecamuk

Advertisement

LENGGONG: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan sebagai ‘berkecamuk’ tanpa adanya hala tuju perjuangan sebenar.

Beliau berkata, barisan kepimpinan pakatan pembangkang itu juga nampak tidak menentu dengan melakukan pelantikan secara semberono.

Berkecamuk. Sekarang pun pemimpin pun main semberono, dia pakai lantik tiga orang itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)...yang lain apa ceritanya?

Mana nak letak Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, mana nak letak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mana nak letak Tan Sri Muhyiddin Yassin. Itu semua menjadi tanda tanya,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas merasmikan penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di sini, semalam.

Khamis lepas, Pakatan Harapan yang dibarisi PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan menamakan Anwar sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir sebagai Pengerusi manakala Dr Wan Azizah sebagai Presiden.

Menjelas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata kepimpinan Pakatan Harapan jelas mencerminkan matlamat menghalalkan cara.

...dan nama-nama yang disenaraikan itu (Anwar Ibrahim,  Dr Mahathir  dan Dr Wan Azizah) dahulu dihujahkan kepada kita sebagai tidak layak menjadi pemimpin, hari ini dilantik pula sebagai pemimpin Pakatan Harapan.

Saya kurang yakin sama ada mereka ini serius atau hanya melakukannya kerana ‘the marriage of convenience’ (atas dasar kepentingan), saya rasa nama tadi dipergunakan atau diperalatkan.

Saya rasa Anwar diperalatkan untuk dilantik sebagai perdana menteri kerana hujah secara pokoknya dan pada pandangan peribadi saya, beliau tidak layak. Apakah sekarang ini dah taubatkah?” katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 2015 selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. — Bernama

Advertisement