Anda di sini

Jangan guna KWSP labur dalam skim cepat kaya

Advertisement
KETUA Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui (berdiri, dua kanan), Ketua Pengarang See Hua Daily Toh Chee Kong (berdiri, kanan) dan Wong (berdiri, tiga kanan). Turut kelihatan Teo (berdiri, dua kiri), Shahril (berdiri, kiri) dan Azzaddin (berdiri, tiga kiri).
KETUA Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui (berdiri, dua kanan), Ketua Pengarang See Hua Daily Toh Chee Kong (berdiri, kanan) dan Wong (berdiri, tiga kanan). Turut kelihatan Teo (berdiri, dua kiri), Shahril (berdiri, kiri) dan Azzaddin (berdiri, tiga kiri).
TEO (kanan) bersalaman dengan Sharil sambil diperhatikan oleh Azzaddin (dua kiri) dan Wong (tengah).
TEO (kanan) bersalaman dengan Sharil sambil diperhatikan oleh Azzaddin (dua kiri) dan Wong (tengah).

KOTA KINABALU: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihatkan supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap simpanan mereka agar tidak menggunakan wang persaraan itu untuk melabur dalam skim cepat kaya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata kes seumpamanya memang serius dari segi kesannya kepada ahli KWSP, bagaimanapun ia hanya tertumpu di sesetengah lokasi dan ramai juga ahli mudah terpedaya dengan skim itu.

Matlamat sindiket itu adalah menggunakan skim sedemikian untuk memperkayakan diri mereka dengan duit ahli KWSP.

Duit itu bukan duit kerajaan ataupun orang lain tetapi duit ahli itu sendiri. Dalam skim itu, mereka digalakkan mengeluarkan wang menerusi skim pengeluaran palsu.

Ahli diberikan jaminan bahawa mereka boleh mengeluarkan duit secara palsu dan dalang sindiket pula akan mengambil 30 sehingga 40 peratus daripada wang yang dikeluarkan ahli,” katanya pada sidang media selepas majlis Bicara Persaraan Bersama KWSP di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pendidikan mengenai perkara itu sangat mustahak kerana pihak KWSP mahu ahli faham bahawa duit itu adalah wang mereka sendiri.

Katanya ahli mempunyai hak mengeluarkan wang itu menerusi skim pengeluaran KWSP - Skim Pengeluaran Perumahan atau Perubatan.

Mereka boleh datang ke cawangan kita secara percuma dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Shahril berkata kewujudan i-Akaun KWSP adalah satu kejayaan terbesar memandangkan hampir 4.5 juta ahli dari seluruh negara telah menggunakan kemudahan itu.

Katanya, kemudahan itu turut disediakan dalam bentuk applikasi ke telefon pintar android dan IOS. Kini, ahli boleh menggunakan kemudahan itu di mana saja berada.

Kita menggalakkan ahli menggunakan kemudahan ini kerana ia mudah dan cepat. Pada masa hadapan, ahli juga boleh menggunakan i-Akaun dan perkhidmatan atas talian untuk tujuan pengeluaran.

Dari segi majikan pula, kita mendapati ia adalah satu kejayaan kerana 99.9 peratus majikan di seluruh negara telah membuat caruman secara atas talian,” katanya.

Menurutnya, majikan akan menyedia dan menyalurkan maklumat yang diperlukan secara atas talian.

Sebanyak 40 peratus majikan juga telah menukar kepada teknik pembayaran KWSP secara atas talian memandangkan kemudahan itu lebih menjimatkan kos dan masa dari segi operasi syarikat.

Sementara itu, Sharil berkata unjuran dividen 2017 menunjukkan petanda yang positif memandangkan prestasi penggal pertama tahun ini adalah sangat positif.

Dari segi pendapatan, kita telah mencapai lebih kurang 50 peratus keuntungan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan itu adalah hasil pasaran saham yang menggalakkan tahun ini, di mana keadaan Bursa Malaysia tahun ini adalah stabil dan meningkat berbanding beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapat maklum balas yang sangat positif di seluruh negara dan KWSP menyasarkan 12 lagi cawangan termasuk di bandar kecil dapat menggunakan kemudahan itu.

Kita menyasarkan menjelang 2020, perkhidmatan itu boleh didapati di kesemua 70 cawangan di seluruh negara.

Setakat hujung tahun lalu, lebih 40,000 ahli KWSP telah menggunakan perkhidmatan ini di seluruh negara,” katanya.

Katanya, masyarakat masih tidak sedar bahawa banyak perkara mereka perlu belajar untuk simpanan demi hari persaraan.

Didikan juga diberikan kepada kakitangan kerajaan dengan harapan mereka dapat membuat keputusan yang sewajarnya mengenai simpanan masing-masing. katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azzaddin Ngah Tasir, Pengurus Operasi Wilayah Sabah KTS Trading Sdn Bhd Wong Kee Mee serta tetamu kehormat yang lain.Oleh YAP SIONG HAN

Advertisement