Anda di sini

Benteng pertahanan kurang ampuh

Advertisement
 Pemain JDT (kanan) menghalang pemain Sarawak mendapatkan bola pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hasan Yunos, malam kelmarin. — Gambar Bernama
HALANG: Pemain JDT (kanan) menghalang pemain Sarawak mendapatkan bola pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hasan Yunos, malam kelmarin. — Gambar Bernama

Pengiran akui pemain gagal kekalkan fokus sehingga berlaku kesilapan

KUCHING: Kekalahan Sarawak (3-1) kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin malam kelmarin disifatkan berpunca daripada benteng pertahanan gagal berfungsi dengan konsisten.

Pemangku jurulatih Sarawak, Pengiran Bala berkata pemain-pemain gagal mengekalkan fokus terbaik sehingga melakukan kesilapan yang membolehkan tuan rumah, JDT berjaya mencuri peluang menjaringkan gol.

Penyerang berbisa, Mohammad Ghaddar muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menyumbat dua gol pada minit ke-11 dan 15 sebelum Muhd Safawi Rasid menjaringkan gol ketiga pada minit ke- 77.

Manakala jaringan sagu hati Sarawak dijaringkan oleh Mohd Sahil Suhaimi pada minit ke-63.

Meskipun berjaya bangkit menyamakan kedudukan namun kegembiraan itu tidak kekal lama.

Barisan bintang JDT mudah menyempurnakan peluang terhidang ketika skuad Bujang Senang berusaha mengimbangi saingan yang dikuasai pasukan tuan rumah dari segenap sudut.

Kami akur dengan kekalahan ini, benteng pertahanan pasukan kita agak longgar malah turut membuka peluang kepada JDT melakukan jaringan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Pengiran Bala tetap memuji semangat perjuangan tinggi yang ditunjukkan semua pemain untuk memberi tentangan sengit kepada JDT di gelanggang lawan malam kelmarin.

Pengiran Bala mengakui banyak perkara perlu dilakukan dalam usaha memperbaiki kesilapan bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi baki beberapa perlawanan.

Beliau tidak menolak untuk membuat rombakan terhadap pasukan Sarawak selepas kehilangan beberapa tonggak utama berikutan dilanda kecederaan, penggantungan malah beraksi dengan skuad kebangsaan.

Kami terpaksa bermain tanpa kelibat Demerson Bruno Costa yang masih cedera, malah Tommy Mawat akan menyertai kem latihan skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan,” katanya.

Apapun, katanya, Sarawak bagaikan tidak mempunyai pilihan selain terus mengutip mata sekiranya mahu kekal beraksi pada Liga Super musim depan.

Sarawak kini kekal menghuni tangga ke-10 carta dengan mengutip 14 mata hasil daripada tiga kemenangan dan lima seri selepas mengharungi 16 perlawanan.

  • oleh
  • Advertisement