Anda di sini

BDA sahkan laporan kes penyakit kencing tikus tidak sahih

BINTULU: Merujuk kepada laporan kejadian kes leptospirosis (penyakit kencing tikus) didakwa berpunca dari gerai makanan dan minuman di Pantai Tanjung Batu di sini disebarkan sehingga tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menyiasat maklumat itu sebagai laporan tidak sahih.

PERBINDA dalam kenyataannya di sini menjelaskan, BDA amat memandang serius  laporan itu sekali gus menghantar anggota penguat kuasa kesihatannya menjalankan siasatan dan pemeriksaan di tempat dilaporkan.

BDA juga berhubung dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu (PKB) dan menjelaskan tiada kejadian seperti kes yang dilaporkan.

Sumber PKB mengesahkan sehingga kini mereka tidak menerima sebarang notifikasi daripada pihak terbabit mengenai kes tersebut,” katanya di sini semalam.

Justeru, orang ramai dinasihati merujuk dengan pihak berwajib untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh disalurkan kepada BDA SMS Hotline di talian 013-8362277.