Anda di sini

Rabies ragut nyawa ketiga

Advertisement
 Mayat mangsa ketiga rabies dibawa ke rumah mayat HUS sebelum dibawa balik ke rumah keluarga ibunya di Stutong Baru.
MANGSA KETIGA: Mayat mangsa ketiga rabies dibawa ke rumah mayat HUS sebelum dibawa balik ke rumah keluarga ibunya di Stutong Baru.

KUCHING: Kematian kanak-kanak perempuan dari Kampung Lebor, Serian dekat sini semalam menjadikan ia sebagai korban ketiga dicatatkan akibat penyakit rabies atau anjing gila di negeri ini.

Alicesa Lorenna Nody, 7, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 2.16 petang oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan.

“Setakat hari ini (semalam) terdapat empat kes disahkan rabies di Serian, di mana tiga kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan kritikal.

“Tiada kes rabies baharu dilaporkan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HUS sebelum dibawa ke rumah keluarga ibunya di Stutong Baru di sini pada kira-kira jam 4.50 petang.

Menurut ahli keluarga mangsa, upacara pengebumian akan diadakan pada Sabtu ini di Siburan.

Dia mula mengalami demam pada 23 Jun dan keesokan harinya mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Serian.

Kesihatan mangsa semakin merosot dengan perubahan tingkah laku dan bersikap agresif serta hidrofobia.

Pada 28 Jun dia diserang sawan dan dibawa ke HUS.

Pada 4 Julai lepas, rabies mengorbankan dua adik-beradik - Monica Mazlan, 6, dan adiknya Jackson Mazlan, 4, dari Kampung Paon, Serian.

Seorang mangsa meninggal dunia pada 1.43 petang, manakala seorang lagi pada 1.46 petang.

Dr Noor Hisham berkata lagi, pengesanan kes aktif (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Aktiviti ACD dilaksanakan di 96 penempatan yang melibatkan 5,663 rumah dan 21,978 penduduk ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing.

Katanya, sebanyak 225 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan.

Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata semua kes gigitan anjing di Kampung Lebor, Paon Rimu Bakong dan Seroban yang layak menerima vaksin telah diberi vaksin. 

“Secara keseluruhan seramai 188 kes telah pun diberi vaksin. Pasukan kesihatan sedang berusaha mengesan kes-kes yang belum datang untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujar kenyataan itu.

Terdapat 42 kes gigitan anjing baharu berlaku dari 2 Julai hingga semalam, iaitu 14 berlaku di zon merah dan 28 di zon kuning.

Sehubungan itu, semua penduduk yang memiliki anjing atau kucing dikehendaki untuk memastikan binatang peliharaan mereka dikurung dan tidak dibiarkan berkeliaran buat sementara waktu.

Kerajaan negeri telah mengisytiharkan tujuh kawasan di Daerah Serian sebagai kawasan wabak penyakit rabies - Kampung Paon Rimu, Paon Rimu Bakung, Remun, Lebor, Krai, Saroban dan Tangga.

Kampung Tangga baharu diisytiharkan semalam.

  • oleh
  • Advertisement