Anda di sini

Lelaki dihadap ke mahkamah atas tuduhan bunuh nelayan

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki berusia 37 tahun dihadap ke mahkamah di sini semalam bagi mendengar pertuduhan membunuh seorang nelayan akhir Jun lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Tony Rambor dari Batang Lassa selepas pertuduhan tentatif dibaca kepadanya.

Mahkamah turut menetapkan 15 Ogos depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia kes.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, Tony didakwa membunuh Entermang Benang pada 27 Jun, 2017, kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah tidak bernombor.

Seksyen 302 ini membawa hukuman mati jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, mayat mangsa ditemui orang ramai terapung di dalam parit besar bersebelahan sebuah rumah terbiar di Jalan Mahsuri sekitar jam 2.30 petang.

Saksi kejadian memberitahu pihak polis yang mangsa telah menghadiri satu sesi minum bersama tertuduh dan empat lagi rakan di rumah terbiar tersebut pada jam 8 malam kejadian.

Satu pertengkaran dikatakan berlaku antara tertuduh dan mangsa, yang dipercayai telah dipukul beberapa kali di bahagian kepala sehingga pengsan.

Mangsa kemudian dipercayai diheret oleh tertuduh dan dibuang ke dalam parit besar berkenaan.

Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai daripada dendam lama. Tertuduh berjaya ditahan di Jalan Khoo Peng Loong kira-kira jam 5.30 petang. 

Advertisement