Anda di sini

Dipenjara 32 bulan bersalah simpan harta curi

Advertisement

MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 32 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan dan menyembunyikan harta curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Faizal Yasin, 33, dari Kampung Lereng Bukit di sini telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah didapati dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Honda Civic 2.0 kepunyaan Zulkifli Abdullah.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 6.20 petang, 25 April tahun ini di No.45 Kampung Lereng Bukit, Jalan Miri-Pujut di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyembunyikan harta curi iaitu sebuah Galaxy Tablet S jenama Samsung kepunyaan Liza Ismawi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 30 April lalu di sebuah lot di Jalan Pelita 3, Pusat Komersil Pelita di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili  merayu hukuman diringankan memandangkan dia telah berkahwin dan mempunyai empat anak, manakala isterinya baharu lepas bersalin.

Bagi kesalahan pertama,tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 bulan berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan iaitu 25 April lalu.

Sementara bagi kesalahan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dijalaninya serentak dengan hukuman pertama.

Pada 15 Jun lalu, tertuduh didenda RM4,000 atau lima bulan penjara oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyembunyikan harta curi iaitu seutas rantai dan tiga bentuk cincin kepunyaan Liza Ismawi kepada seorang pemilik kedai emas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama Choon Boon Chung antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang, 24 April lalu di sebuah kedai emas di Pusat Komersil Emart.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd  Noor.

Advertisement