Anda di sini

Tidak timbul soal kerajaan parti tunggal atau gabungan

Advertisement

Model politik sesuatu kerajaan ditentukan oleh rakyat

 Pengurus Besar Regus Kota Kinabalu Michelle (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Raymond (tengah), sambil diperhatikan oleh tetamu jemputan lain.
CENDERAMATA: Pengurus Besar Regus Kota Kinabalu Michelle (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Raymond (tengah), sambil diperhatikan oleh tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Bagi membentuk sebuah kerajaan yang baik, tidak timbul soal kerajaan parti tunggal mahupun parti gabungan, kata Naib Presiden GERAKAN Datuk Seri Panglima Raymond Tan.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata bukan parti politik yang seharusnya menentukan model politik bagaimana yang dapat membentuk kerajaan yang baik sebaliknya, ia ditentukan oleh rakyat.

Pemimpin perlu melihat apa yang rakyat mahukan berbanding hasrat parti yang ingin membentuk kerajaan yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) yang ingin mengembalikan semula kerajaan parti tunggal.

Secara peribadi, kita sudah membentuk kerajaan parti tunggal dahulu. Kita juga bentuk kerajaan melalui gabungan parti. Ia hanyalah model politik,” katanya.

Raymond berkata untuk menjadi sebuah kerajaan yang baik, kita perlu melihat kerajaan itu secara keseluruhan. Adakah kerajaan itu mampu berkembang dan makmur serta mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Jika salah satu daripada model politik ini mampu memenuhi apa yang diinginkan rakyat itu, maka model politik itulah yang akan diamalkan.

Kita perlu melihat aspirasi rakyat. Saya tidak fikir rakyat ingin tahu model politik macam mana yang ingin parti politik inginkan.

Rakyat hanya mahukan kerajaan yang kuat, maju dan memberi manfaat kepada mereka. Rakyat ingin tahu parti mana yang boleh ‘deliver’ dengan baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Regus, di sini pada Selasa.

Beliau juga menyarankan rakyat di negeri ini supaya tidak salah memilih kerajaan kerana jika tersilap pilih, ia akan mendatangkan masalah kemudian hari.

Ditanya mengenai persiapan GERAKAN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau dengan yakin menyatakan GERAKAN sudah bersiap siaga.

Katanya, GERAKAN sudah lama bersedia malah, sebaik PRU13 selesai, parti itu sentiasa turun padang secara konsisten bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Raymond berkata beliau tidak melihat PRU sebagai satu majlis yang bila tiba masanya baharu hendak bersedia.

Sejak empat tahun lalu lagi, kita secara berterusan memberi khidmat dan menunaikan janji kepada rakyat. Kita meminta laporan tahunan dibuat bagi melihat perkembangan dilakukan setiap tahun.

Kita membantu menyelesaikan masalah rakyat. Kita bantu menyediakan apa yang rakyat perlukan kerana Gerakan sentiasa memandang berat soal kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.

Dalam GERAKAN dan kerajaan, kita berdepan masalah dan membantu mencari jalan penyelesaiannya,” jelasnya.

Mengenai peruntukan kerusi baharu di Sabah pula, Raymond berkata memang jika dilihat kehendak parti, GERAKAN ingin diberi peluang untuk bertanding di kerusi baharu.

Namun, apa yang penting adalah kelayakan kita untuk minta kerusi baharu. Realitinya, kita tidak minta kerusi tambahan sekiranya kita tidak mampu ‘deliver’ dengan baik.

Kita tidak minta (kerusi tambahan) disebabkan parti lain juga minta peruntukan kerusi tambahan. Kita perlu berdepan dengan realiti dan kemampuan kita untuk deliver. Adakah kita layak diberi kerusi tambahan.

GERAKAN tidak tamak, kita perlukan dua kerusi yang sedia ada. Adakah kita perlu kerusi tambahan? Ia bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan. Jika kita sudah lakukan yang terbaik maka, kita selayaknya diberikan kerusi tambahan,” katanya.

Advertisement