Anda di sini

Korban ketiga rabies

Advertisement

KUCHING: Mangsa ketiga yang dijangkiti virus rabies disahkan meninggal dunia selepas mesin bantuan hayat dihentikan pada petang ini.

Mayat Alicesa Lorenna Nody dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 3.30 petang dan akan dihantar ke rumah keluarga mangsa di Stutong Baru untuk upacara pengebumian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dari Kampung Lebor, Serian itu meninggal dunia pada jam 2.16 petang.

Menurutnya lagi, sehingga 13 Julai ini, terdapat empat kes disahkan rabies di Serian, Sarawak di mana tiga kes telah meninggal dunia dan satu kes iaitu kes keempat sedang dirawat di wad PICU Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan kritikal. Tiada kes rabies baru dilaporkan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Aktiviti ACD telah dilaksanakan di 96 penempatan yang melibatkan 5,663 rumah dan 21,978 penduduk ditemuduga bagi sejarah gigitan anjing. Sebanyak 225 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk kampung berkenaan.

Pada 4 Julai lepas, dua adik beradik meninggal dunia akibat penyakit anjing gila yang kini menyaksikan agensi-agensi kerajaan berkaitan berusaha membasmi jangkitan virus itu.

Dua mangsa itu - Monica Mazlan, 6, dan adiknya Jackson Mazlan, 4, juga meninggal dunia selepas dihentikan mesin bantuan hayat.

Mereka berasal dari Kampung Paon, Serian.

  • oleh
  • Advertisement