Anda di sini

iPay88 sasar pasaran global bagi perluas e-dagang

KUALA LUMPUR: Gerbang pembayaran dalam talian, iPay88 Sdn Bhd, menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa bagi memperluaskan sektor e-dagangnya dan mengukuhkan kedudukan dan jenamanya di ASEAN.

Pengarah Eksekutifnya, Chan Kok Long, berkata iPay88 sedang meninjau peluang di Asia Pasifik, Bangladesh, Hong Kong dan Asia Barat.

Kami sedang berusaha untuk menjadi gerbang pembayaran yang paling mendapat permintaan di negara-negara tersebut.

Malaysia akan kekal sebagai pasaran utama kami tetapi kami masih perlu membuka laluan kami secara strategik kepada pasaran lain,” katanya kepada pemberita pada taklimat media iPay88 mengenai pelan pembangunannya di sini semalam.

Setakat ini, iPay88 mempunyai operasi di hampir semua negara-negara Asia Tenggara termasuk Kemboja, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Singapura.

Chan berkata pengembangan pasaran ke rantau yang berbeza seperti ASEAN dan Asia Pasifik tidak mudah berikutan persekitaran pembayaran dalam talian di setiap negara adalah unik dengan pelbagai  persekitaran perniagaan. 

Usaha kami ke pasaran Indonesia dan Filipina yang berjaya baru-baru ini menjadi pelan tindakan bagi kami untuk terus meneroka pasaran Asia Tenggara yang lain,” katanya.

Selain kedudukan yang kukuh di Asia Tenggara, iPay88 turut berkembang ke bahagian Asia yang lain termasuk Hong Kong dan Bangladesh, kata Chan.

Kami turut berharap untuk membina kedudukan yang kukuh dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik menjelang akhir 2018, “ katanya. — Bernama