Anda di sini

Ashweein mahu lahir lebih ramai pelawak Sarawak

Advertisement
 Ashweein ketika membuat persembahan di The Hub, MJC tidak lama dahulu.
BERBAKAT: Ashweein ketika membuat persembahan di The Hub, MJC tidak lama dahulu.

MENJADI pelawak di atas pentas mungkin sesuatu yang baharu di negeri ini tetapi ia kian mendapat tempat dan menjadi kegilaan penonton yang bijak menilai kualiti inti pati lawak yang dipersembahkan.

Seorang jurutera, Ashweein Narayanan, 26, ketika ditemui memberitahu bahawa beliau telah berjinak dengan bidang lawak sejak menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu negara sejak 2009.

Semasa masih berada di universiti dahulu, saya sering menonton pelawak antarabangsa yang juga salah seorang kegemaran saya iaitu pelawak kelahiran Kanada, Russell Peters serta pelawak tempatan Harith Iskander dan Douglas Lim.

Membuat lawak di atas pentas bukan seperti tayangan pentas yang biasa dilihat oleh kita. Ia bukan sekadar melawak tetapi menceritakan tentang diri sendiri atau pengalaman mereka sendiri dalam cara yang lawak.

Dari situ saya mulai menyedari kenapa tidak saya mencuba lagipun kalau difikirkan memang ada cerita-cerita lawak yang ingin dikongsi bersama orang lain,” katanya.

Ashweein berkata beliau membesar dalam kalangan komuniti yang minoriti di tempat yang mungkin beliau sendiri tidak tahu sangat mengenai adat resam dan budaya orang lain, begitu juga sebaliknya.

Justeru, beliau banyak mempelajari bagaimana untuk menyesuaikan diri sedikit demi sedikit akan perubahan tersebut yang banyak memberi idea untuknya membuat persembahan.

Pada mulanya hanya sekadar mahu mencuba dengan mencabar diri sendiri dan menjadi pembuka kepada acara lawak pentas seperti persembahan pelawak Kavin Jay suatu masa dahulu.

Tetapi sejurus selepas tamat pengajian di universiti di ibu negara, saya kembali semula ke Kuching dan bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan di sini tetapi sering dihantar ke ibu negara untuk tujuan kerja.

Jadi apa yang saya lakukan adalah bergaul dengan rakan-rakan di sini sambil bercerita dan saya kumpulkan lawak-lawak ini dan saya ceritakannya semasa persembahan pentas di Kuala Lumpur pula.

Sejak berada di IPT lagi, saya bersama sekumpulan pelajar telah menubuhkan sebuah kelab pelawak yang saya rasa mempunyai potensi besar untuk dijadikan sama taraf seperti persembahan nyanyian dan tarian,” tambahnya.

Belia hari ini mungkin banyak yang belum menyedarinya lagi tetapi sungguh menarik sekiranya dapat berjumpa dengan mereka yang menginginkan sedikit kelainan seperti dirinya  dalam bidang persembahan pentas, ujarnya.

Beliau menyeru mereka yang mempunyai minat yang sama agar menghubunginya melalui laman sosial Facebook di Ashweein Narayanan untuk melakukan sebuah persembahan pentas.

Sejak berpindah semula dan menetap di Kuching beliau sudah dua kali mengadakan persembahan di The Hub,Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) dan China House di Bangunan Mahkamah Lama yang mendapat sambutan baik daripada penonton.

Harga tiket mahal atau persembahan seperti ini bersifat perkauman adalah tanggapan salah sesetengah pihak malah ia boleh dijadikan medium untuk pelbagai jenis kegunaan dan pengajaran bergantung kepada minat pelawak tersebut.

Beliau pernah bertemu dengan rakan tempatan yang mempunyai minat yang sama tidak lama dahulu seperti Aaron Chang dan Albert Kamalindra di sini.

Untuk dirinya, Ashweein lebih suka menyampaikan mesej perpaduan yang mungkin jelasnya setiap individu tampak berlainan dari segi luaran tetapi di dalam diri mereka menuju ke arah matlamat yang sama.

Saya menyokong lebih banyak belia mengikuti jejak langkah kami kerana ia (melawak) juga  menghiburkan seperti menyanyi dan menari.

Kalau ada yang ingin menimba ilmu, saya  dengan tangan terbuka mengalu-alukan mereka  menghubungi saya di Facebook kerana saya memang mahu mencungkil bakat baharu.

Jika dapat mengumpul sekurang-kurangnya empat atau lima pelawak dalam majlis dihadiri hampir 25 orang pada persembahan saya sebelum ini… ia sudah cukup memadai,”jelasnya.

Sejujurnya, beliau berharap suatu hari nanti akan ada pelawak akan mendapat tempat untuk membuat persembahan di Sarawak dan ia adalah seni persembahan.

Tiket juga tidak mahal, sekadar puluhan ringgit dan kadangkala ia juga diberi secara percuma untuk persembahan selama 20 minit.

  • oleh
  • Advertisement