Anda di sini

Pemikiran dan latar belakang pelajar dipengaruhi perkembangan globalisasi

Advertisement
 Abdullah (empat kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Antologi Guru serta buku inovasi-inovasi guru Sarawak sambil disaksikan yang lain.
LANCAR: Abdullah (empat kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Antologi Guru serta buku inovasi-inovasi guru Sarawak sambil disaksikan yang lain.

MUKAH: Pemikiran dan latar belakang pelajar masa kini banyak dipengaruhi perkembangan globalisasi, sosiobudaya dan ekonomi serta pengaruh media sosial menjadikan cabaran dihadapi warga pendidik kian hebat.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata cabaran itu bertambah berat jika keadaan fizikal sekolah uzur serta peralatan pembelajaran tidak mencukupi terutama di luar bandar.

Tema Hari Guru empat kali digunakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ membawa mesej agenda memperkasa sistem pendidikan negara mesti diberi keutamaan serius dan memerlukan komitmen politik kerajaan terutama kementerian berkaitan. 

Sementara kerajaan berusaha menaik taraf ekonomi dan pembangunan fizikal, usaha melahirkan modal insan dan warganegara berkualiti juga mesti ada kesungguhan bukan hanya dalam kalangan pakar pendidikan menstruktur sistem pendidikan tetapi kalangan pemimpin politik menentukan polisi serta dasar pendidikan negara,” katanya pada Majlis Apresiasi Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di sini malam kelmarin.

Katanya, tugas guru semakin kompleks dan memerlukan inovasi dalam cara mendidik secara kreatif, maka adalah wajar peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut diperkasa untuk memainkan peranan lebih aktif dan efektif.

Menurutnya, tugas mendidik anak bangsa tidak seharusnya diserah bulat-bulat kepada warga pendidik.

Bukankah pelajar nanti membesar dan menjadi sebahagian daripada masyarakat, maka ahli masyarakat mesti turut bertanggungjawab dengan perkembangan pendidikan dan memberi sumbangan sewajarnya.

Entiti mewakili masyarakat paling dekat dengan sekolah ialah PIBG,” jelasnya.

Sambil menegaskan pendidikan menjamin masa depan, beliau berkata ramai ibu bapa terutama di luar bandar tidak menampakkan kesungguhan memberi sokongan moral serta galakan memastikan anak-anak mereka lebih berjaya.

Melalui PIBG, ibu bapa boleh memberi sumbangan serta sokongan sewajarnya meringankan tugas warga pendidik terutama dari segi pemantauan disiplin, pembangunan kerohanian dan kebajikan pelajar.

PIBG juga dapat membantu dari segi sokongan kewangan untuk aktiviti bersesuaian.

Saya yakin setiap wakil rakyat turut membantu dari semasa ke semasa menyalurkan serba sedikit peruntukan bagi aktiviti sekolah atau pembelian peralatan yang diperlukan.

Begitu juga warga korporat wajar memberi perhatian terhadap inisiatif CSR memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah daif,” jelasnya.

Katanya, keghairahan mengejar pembangunan fizikal tidak berguna jika kualiti masyarakat pada masa depan tidak selari usaha memodenkan negara.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menyedari betapa pentingnya agenda memperkasa pendidikan anak negeri.

Justeru, Ketua Menteri menubuhkan Kementerian Pendidikan Negeri terutama dalam usaha mempercepat penyiapan bangunan atau baik pulih sekolah uzur.

Sebahagian perundingan dengan kerajaan persekutuan dalam inisiatif penurunan kuasa pentadbiran memastikan peruntukan daripada Putrajaya disalurkan terus kepada kerajaan negeri supaya dapat diurus serta dilaksanakan dengan cepat dan efektif,” jelasnya.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Mukah Bugin Ragon, PPD Daro Mortadza Sat dan PPD Dalat Ahli Chikba.

Advertisement