Anda di sini

Lori tangki meletup

Pemandu maut setelah lori dipandunya terbakar lalu meletup di Bintulu semalam.

 Keadaan lori tangki minyak terbakar dan meletup yang turut memusnahkan lima kenderaan berhampiran di Jalan Kidurong, Bintulu semalam.
MARAK: Keadaan lori tangki minyak terbakar dan meletup yang turut memusnahkan lima kenderaan berhampiran di Jalan Kidurong, Bintulu semalam.
 Tiga daripada lima kenderaan musnah berikutan insiden lori tangki minyak terbakar lalu meletup di Jalan Kidurong, Bintulu  semalam.
MUSNAH: Tiga daripada lima kenderaan musnah berikutan insiden lori tangki minyak terbakar lalu meletup di Jalan Kidurong, Bintulu semalam.

BINTULU: Seorang pemandu lori tangki minyak maut setelah lori dipandunya terbakar lalu meletup dalam insiden di Jalan Kidurong sekitar jam 12.10 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit mengesahkan mangsa yang dikenali  Martin Joshua, 30, ditemui mati di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda bersebelahan lori terbabit.

Insiden itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal yang berada di jalan terbabit turut luka di bahagian tangannya namun berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Jelasnya, enam lagi individu yang menaiki lima kenderaan berhampiran turut berjaya menyelamatkan diri sebelum kereta mereka terbakar ekoran  api merebak ke kenderaan mereka.

Zailanni  berkata, lori itu dikatakan menuju ke Tanjung Batu dari arah Kidurong sebelum membelok dalam keadaan laju sehingga terlanggar pembahagi jalan sekali gus menyebabkannya tidak stabil lalu tumbang.

Lori membawa muatan minyak itu terbakar lalu meletup menyebabkan lima kereta dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat dari arah bertentangan turut musnah,” jelasnya.

Siasatan terperinci dijalankan polis dan pihak berwajib dilakukan bagi mengetahui punca sebenar insiden ngeri itu.

Difahamkan semua pemandu kenderaan terbabit diarah membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Shell Malaysia dalam kenyataan akhbarnya semalam menyatakan bahawa pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan kemalangan itu.

Menurut kebnyataan itu, kemalangan berkenaan melibatkan lori tangki minyak pihak ketiga syarikat tersebut.

Kami telah menggerakkan sumber dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi bantuan segera kepada pasukan kecemasan tempatan.

Kami akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berikutnya,” kata kenyataan itu semalam.

Shell Malaysia turut melahirkan simpati terhadap mangsa serta ahli keluarga mangsa.

 Bomba mengangkat mayat mangsa dari bawah pacuan empat roda sejurus api berjaya dikawal.
RENTUNG: Bomba mengangkat mayat mangsa dari bawah pacuan empat roda sejurus api berjaya dikawal.
 Kerja-kerja mengangkat kenderaan serta pembersihan jalan oleh pihak berwajib sejurus berlakunya insiden itu semalam.
BERSIH: Kerja-kerja mengangkat kenderaan serta pembersihan jalan oleh pihak berwajib sejurus berlakunya insiden itu semalam.