Anda di sini

Dr Nor Syahairah harumkan nama Malaysia di Warsaw

Advertisement

Pelajar terbaik daripada lebih 70 pelajar antarabangsa

WARSAW: Kerja keras Dr Nor Syahairah Mohd Nor Norul membuahkan hasil apabila pelajar perubatan dari Malaysia itu menerima anugerah ‘Golden Graduation’ bagi kecemerlangan akademik dan pencapaian luar biasa daripada Medical University of Warsaw, Poland.

Beliau muncul pelajar terbaik perubatan dalam kalangan lebih 70 pelajar antarabangsa dari Kesatuan Eropah, negara Timur Tengah dan Malaysia.

Dua lagi pelajar Malaysia, Dr Nur Aini Sharkhan dan Dr Mohamad Amirul Akram Mashum juga antara pelajar yang memperoleh markah tertinggi.

Rektor Warsaw Medical University Prof Dr Miiroslaqw Wieglos, yang juga anggota Polish Academy of Medical Sciences, mengesahkan bahawa tiga pelajar perubatan dari Malaysia itu adalah antara 10 pelajar yang memperoleh markah tertinggi, dengan pingat emas diraih Dr Nor Syahairah.

Ini bermakna sepanjang enam tahun pengajian mereka, kesemua pelajar ini memperoleh markah tertinggi terus-menerus,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah turut dihadiri Duta Malaysia di Poland, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dan Pengarah MARA berpejabat di Frankfurt, Ahmad Fadhli Mohd Naim.

Ketika mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pelajar berkenaan, Fadil turut memuji tujuh pelajar Malaysia dalam kumpulan sama kerana berjaya memperoleh ijazah perubatan mereka.

Beliau menyifatkan pencapaian para pelajar itu sebagai satu kebanggaan bagi Malaysia dan mencerminkan persediaan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata 10 pelajar berkenaan merupakan kumpulan pertama yang menamatkan pengajian di Warsaw Medical University di bawah biaisiswa MARA. Kumpulan kedua terdiri daripada 21 pelajar akan memperoleh ijazah mereka pada 2018.

Dr Nor Syahairah menamatkan program International Baccalaureate beliau di Kolej Persediaan MARA, Seremban, pada 2009 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Warsaw. — Bernama

Advertisement