Anda di sini

RM445,000 untuk pembinaan, naik taraf SK Abang Leman

Advertisement

KABONG: Sejumlah RM445,000 peruntukan diumumkan dua wakil rakyat di kawasan ini untuk pembinaan dan kerja menaik taraf kemudahan dan bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman, Kabong.

Peruntukan tersebut daripada Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom dengan jumlah RM420,000 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir (RM25,000)  diumumkan pada Majlis Ramah-Tamah Alumni SK Abang Leman, malam kelmarin.

Mawan berkata, peruntukan itu bagi membolehkan beberapa kemudahan dan bangunan usang sekolah itu dapat diperbaiki bagi menampung keperluan murid.

Usaha itu membolehkan pihak sekolah dan murid menikmati suasana dan sesi pembelajaran selesa.

Kita yakin dengan kemudahan serba lengkap, sekolah itu mampu melahirkan ramai murid berkualiti dan cemerlang sama ada dalam akademik mahupun kokurikulum,” katanya.

Peruntukan itu untuk menaik taraf dan mengekalkan salah sebuah bangunan lama sekolah itu dengan kos RM100,000.

Selain itu, ia juga bagi memberi kemudahan pihak sekolah menganjurkan aktiviti dan program lebih selesa dengan peruntukan RM300,000 bagi tujuan pembinaan sebuah dewan terbuka.

Menurut Mawan, kerajaan mengutamakan pendidikan kerana  ia merupakan landasan utama sesebuah negara bergerak maju dalam menghadapi perkembangan dunia globalisasi.

Justeru, kerajaan sentiasa bersedia menyalurkan bantuan dan peruntukan kepada pihak sekolah yang memerlukan bantuan.

Pada majlis sama, Mawan dan Mohd Chee masing-masing mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 menjadikan jumlah RM40,000 untuk diisi kepada Tabung Alumni SK Abang Leman.

Sementara itu, sejumlah RM10,000 diberi kepada alumni itu sebagai penganjuran ramah-tamah tersebut.

Turut hadir ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong Kamaludin Alkap, wakil Pengerusi Alumni SK Abang Leman Oleh Tabur, Guru Besar SK Abang Leman Bujang Lee dan kira-kira 500 tetamu.

Advertisement