Anda di sini

Mayat 25 pendatang terdampar di Libya

Advertisement
 Penyelamat menutup mayat pendatang dengan beg plastik di pantai timur Tripoli, Libya kelmarin. — Gambar Reuters
MENYAYAT HATI: Penyelamat menutup mayat pendatang dengan beg plastik di pantai timur Tripoli, Libya kelmarin. — Gambar Reuters

Lemas ketika cuba ke Eropah, lebih 8,000 lagi diselamatkan dalam tempoh 48 jam

TRIPOLI: Mayat sekurangkurangnya 25 pendatang yang lemas ketika cuba untuk pergi ke Eropah ditemui berhampiran Tripoli kelmarin, kata Bulan Sabit Merah Libya.

 Sebahagian daripada mayat itu dihanyutkan ke tepi sebuah pantai berhampiran dengan bandar utama Libya, namun kebanyakannya terdampar di atas batu di luar subbandar Tajoura dalam keadaan reput, kata jurugambar AFP di tempat kejadian.

 Permulaan musim panas menyaksikan peningkatan pendatang yang menaiki bot untuk perjalanan yang berbahaya menyeberangi Mediterranean, memberi tekanan kepada perkhidmatan menyelamat.

 Pengawal pantai Itali berkata lebih 8,000 pendatang diselamatkan di luar pantai Libya dalam tempoh 48 jam hingga kelmarin.

 Rakan setugasnya di Libya menyatakan ia menyelamatkan 147 pendatang, termasuk 19 wanita dan empat kanak-kanak, di luar pekan barat Sabratha pada pagi kelmarin.

 Kebanyakannya adalah golongan muda dari Cameroon, Sudan, Mali dan Senegal, menurut jurucakap tentera laut Libya Jeneral Ayoub Qassem.

 Mereka ditemui berpadat di atas bot getah buatan sendiri, menurut jurukamera AFP yang berada dalam bot penyelamat.

 Pengawal pantai kemudian memindahkan mereka seorang demi seorang ke dalam kapal penyelamat.

 Sebaik sahaja berada di atas kapal, pendatang tersebut tidak bersuara, keletihan dan kelihatan kecewa kerana tidak sampai ke destinasi mereka.

 Sebaik sahaja mereka tiba di pelabuhan Zawiya, barat Tripoli, mereka diarahkan menaiki trak untuk dibawa ke pusat tahanan di pekan.

 Seorang wanita memeluk bayinya sambil menangis dalam trak, impiannya untuk pergi ke Eropah telah musnah hanya dalam masa beberapa jam sahaja – di samping wang yang dia sudah bayar bagi perjalanan tersebut.

 Jurucakap tentera laut, Qassem, berkata beberapa bot pendatang dikesan di luar Libya kelmarin bersama dengan sekurang-kurangnya enam kapal yang dikendalikan secara persendirian “mendakwa sedang melakukan operasi menyelamat”.

 Salah sebuah kapal tersebut telah memasuki perairan Libya sebelum pengawal pantai memaksa ia agar pergi dari situ, kata beliau, menuduh pengemudi bot “bersubahat” dengan sindiket penyeludup manusia.

 Pendatang yang disekat atau diselamatkan oleh pengawal pantai Libya biasanya ditahan di pusat tahanan sehingga mereka dihantar pulang ke negara asal.

 Namun ramai yang menjadi mangsa peras ugut dan penderaan di tangan penyeludup manusia, yang mengambil kesempatan ke atas kekecohan selama beberapa tahun di Libya untuk meningkatkan perniagaan mewah namun berbahaya mereka.

 Lebih 73,300 pendatang berjaya mendarat di pantai Itali sejak Januari, satu peningkatan sebanyak 14 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

 Hanya lebih 2,000 terbunuh atau hilang dan dikhuatiri lemas ketika cuba untuk menyeberangi sejak awal tahun 2017, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 — AFP

Advertisement