Anda di sini

Disiasat kes bunuh

Advertisement
 Mayat mangsa dikeluarkan dari parit besar tersebut.
TRAGIS: Mayat mangsa dikeluarkan dari parit besar tersebut.
 Anggota polis menjalankan siasatan di tempat penemuan mayat petang semalam.
TERAPUNG: Anggota polis menjalankan siasatan di tempat penemuan mayat petang semalam.

Mayat lelaki ditemui terapung dipercayai dibuang ke dalam parit besar susulan pergaduhan semasa sesi minum.

SIBU : Mayat seorang lelaki yang dijumpai terapung di dalam parit besar bersebelahan rumah terbiar di Jalan Mahsuri di sini semalam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki dibunuh.

 Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi memberitahu, kes tersebut pada mulanya diklasifikasi sebagai mati mengejut.

 “Bagaimanapun, kita mengklasifikasi semula kes ini sebagai bunuh selepas pasukan penyiasat mendapati kematian mangsa ada kaitan dengan satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah terbiar di Jalan Mahsuri sekitar jam 11 malam tadi (kelmarin),” ujarnya.

 Mangsa dikenali sebagai Entermang Julin, berbangsa Iban berumur dalam lingkungan 40-an, bekerja sebagai nelayan.

 Menurut Martin, bertindak atas maklumat pihaknya berjaya menahan seorang suspek berumur 37 tahun di Jalan Khoo Pheng Loong sekitar jam 5.30 petang semalam.

 “Seorang saksi kejadian memberitahu polis si mati dikatakan telah menghadiri satu sesi minum bersama suspek dan empat lagi rakan di rumah terbiar tersebut pada jam 8 malam tersebut,” katanya.

 Sejurus itu, tambahnya, satu pertengkaran tercetus di antara suspek dan si mati yang dipercayai telah dipukul beberapa kali di bahagian kepala dengan papan sehingga pengsan.

 Menurut Martin lagi, mangsa kemudian dipercayai diheret oleh suspek dan dibuang ke dalam parit besar berkenaan.

 Katanya, kesemua mereka yang menghadiri sesi minum tersebut telah melarikan diri selepas kejadian itu sehingga mayat tersebut ditemui oleh orang awam sekitar jam 2.30 petang semalam.

 Martin berkata, punca kejadian dipercayai dendam lama.

 “Si mati mengalami kecederaan parah di bahagian kanan kepala dan terdapat beberapa kesan luka akibat dipukul,” jelasnya sambil menambah polis menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jm 3.10 petang.

 Polis juga merampas papan yang dipercayai digunakan oleh suspek di lokasi jenayah.

 “Suspek akan direman untuk tindakan lanjut.”

  • oleh
  • Advertisement