Anda di sini

Anak syarikat Axiata ambil alih syarikat menara Pakistan dengan RM385.5j

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Axiata Group Bhd, edotco Group Sdn Bhd (edotco), melalui edotco Pakistan (Pte) Ltd, telah memeterai satu perjanjian dengan Tower Share (Pte) Ltd (TS PK) bagi memperoleh 100 peratus kepentingan anak syarikatnya, Tanzanite Tower Pte Ltd (TTPL).

 Axiata dalam kenyataan baru-baru ini berkata, urus niaga itu meletakkan TTPL pada nilai perusahaan sebanyak AS$90 juta (kira-kira RM385.5 juta).

 Pengambilalihan ini menjadi pembangunan strategik yang penting bagi operasi sedia ada edotco di Pakistan dan membolehkannya berkembang dengan portfolio yang lebih besar iaitu kira-kira 700 menara, yang menyediakan peluang penyewaan dengan semua operator mudah alih utama di negara tersebut.

 Peluang ini adalah selaras dengan rancangan edotco bagi memajukan operasi di Pakistan, menjadikannya sebagai syarikat menara bebas yang terbesar di sana, ia juga, membenarkan edotco mengembangkan angka menaranya dan mengambil kesempatan daripada peluang penyatuan serta pengambilalihan tambahan, katanya.

 Pengerusi edotco, Datuk Azzat Kamaludin, berkata lembaga pengarah yakin pengambilalihan itu akan membawa pulangan kewangan yang positif kepada kumpulan.

 “Pengembangan edotco dalam kekuatan perniagaan dan prestasi kewangan adalah amat luar biasa, sehingga ia mampu membuat strategi pertumbuhan dan pengembangan dengan dana sendiri.

 “Perluasan operasi ke Pakistan akan mengukuhkan lagi kedudukan edotco sebagai sebuah syarikat menara bebas yang terkemuka di Asia,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Suresh Sidhu, berkata pengambilalihan ini akan menyokong strategi pertumbuhan edotco dan mencerminkan keyakinan syarikat yang berterusan dalam pasaran Pakistan termasuk komitmen jangka panjang bagi menyokong pembangunan dan peningkatan infrastruktur telekomunikasi di negara berkenaan.

 Diasaskan pada tahun 2008 dan berpangkalan di Islamabad, TS PK adalah sebuah anak syarikat penuh yang dimiliki sepenuhnya oleh Towershare Inc, peneraju serantau serta pemilik bebas dan pengendali infrastruktur komunikasi tanpa wayar yang memberi fokus utama di Asia Barat, Afrika Utara dan Asia Selatan.

 Urus niaga itu dijangka selesai selepas menerima kelulusan dari pihak berkuasa yang berkaitan. — Bernama  

Advertisement