Anda di sini

Tiada kompromi: JPJ

Advertisement
 Syafiq (dua kiri) menyoal seorang penunggang motosikal yang diperiksa pada operasi malam kelmarin.
SIASAT: Syafiq (dua kiri) menyoal seorang penunggang motosikal yang diperiksa pada operasi malam kelmarin.

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Ops Perayaan Hari Raya Aidilfitri memberi amaran tegas bahawa semua kenderaan berat dilarang berada di jalan raya bermula semalam sehingga 2 Julai ini untuk memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang tempoh tersebut.

Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas berkata, mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar dengan arahan tersebut dan saman akan dikeluarkan serta-merta terhadap pemandu yang ditahan.

“Ingin ditegaskan di sini, bermula esok (semalam), semua kenderaan berat tidak dibenarkan berada di atas jalan raya sehingga 2 Julai ini untuk memastikan pergerakan kenderaan berjalan lancar.

“Justeru, untuk memastikan arahan ini dipatuhi, anggota kita akan sentiasa membuat rondaan dan sekiranya ada pihak yang ingkar akan diberikan amaran terlebih dahulu dan jika masih berdegil maka notis saman akan dikeluarkan serta-merta,” tegasnya.

Terdahulu, Syafiq mengetuai Operasi Khas Motosikal Sempena Hari Raya Aidilfitri di pusat bandar raya di sini malam kelmarin.

Menurutnya, antara jenis kenderaan berat yang dilarang adalah lori yang membawa muatan, treler dan lori kargo.

“Larangan ini terpaksa dikeluarkan disebabkan kita khuatir kenderaan berat ini akan melambatkan lagi pergerakan kenderaan lain.

“Selain itu, terdapat juga aduan ada segelintir pemandu kenderaan berat yang sengaja meletak kenderaan mereka di tepi jalan yang mana akan menggugat keselamatan pengguna jalan raya lain dan mengganggu pergerakan lalu lintas,” jelasnya.

 Anggota AADK sedang menyiasat beberapa penunggang motosikal yang ditahan untuk ujian air kencing.
ANTI DADAH: Anggota AADK sedang menyiasat beberapa penunggang motosikal yang ditahan untuk ujian air kencing.

Operasi yang dijalankan dari jam 8 malam sehingga 12 tengah malam kelmarin dijalankan di seluruh negeri dan turut disertai anggota polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Daripada operasi ini, sebanyak 257 saman dan 37 notis pemeriksaan atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Di Kuching sahaja, sebanyak 56 saman tidak memiliki lesen memandu dikeluarkan, 18 saman kerana gagal pamer ‘P’ pada kenderaan, 18 saman cukai jalan tamat tempoh dan 15 saman nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Beliau menambah, Operasi Khas Motosikal juga akan diteruskan sehingga 2 Julai ini sempena Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula 18 Jun lepas.

“Sebanyak 2,082 kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang tempoh penguatkuasaan di seluruh negeri, di mana 176 kenderaan telah diambil tindakan, 110 saman dan 223 notis pemeriksaan telah dikeluarkan.

“Selain itu, sebanyak 408 bas diperiksa dan 15 telah diambil tindakan dan 10 saman dikeluarkan merangkumi kesalahan seperti tayar botak, brek tidak berfungsi serta lampu bas tidak menyala,” katanya.

 Syafiq menunjukkan antara jenis nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.
TIDAK DIBENARKAN: Syafiq menunjukkan antara jenis nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.
  • oleh
  • Advertisement