Anda di sini

Siti Kasim didakwa halang pegawai JAWI jalankan tugas

Advertisement
 Siti Kasim mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Siti Kasim mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ketika ditahan di sebuah hotel, tahun lepas.

Siti Kasim, 54, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solehin Abd Wahid.

Dia yang berambut putih berjalur biru didakwa dengan sengaja menghalang pegawai JAWI, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 36, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel, di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016 mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum pertuduhan dibacakan, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya berada di luar kandang tertuduh bagi menghormati kerjayanya sebagai peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Roger Chan Weng Keng dan Rajsurian Pillai yang mewakili Siti Kasim merayu kepada mahkamah supaya anak guam mereka dikenakan jaminan berbentuk bon tanpa cagaran dengan alasan tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan kes itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos. Siti Kasim membayar wang jaminan itu. — Bernama

Advertisement