Anda di sini

PRU14: BN Sarawak terima 80 peratus senarai calon

Advertisement

Penilaian calon bukan sahaja berdasarkan kad laporan prestasi, tetapi juga maklumat semua agensi

 Abang Johari menyaksikan Juma’ani menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa BN, malam kelmarin. Turut kelihatan Dr Sim (kiri), Uggah (dua kiri), Doreen (dua kanan) dan Rosey (kanan).
AMAL: Abang Johari menyaksikan Juma’ani menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa BN, malam kelmarin. Turut kelihatan Dr Sim (kiri), Uggah (dua kiri), Doreen (dua kanan) dan Rosey (kanan).

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak telah menerima tidak kurang daripada 80 peratus senarai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agungnya Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, 80 peratus berkenaan adalah daripada 31 kerusi Parlimen negeri di mana sebahagian daripadanya sudah menghantar nama.

Ada yang sudah (menghantar senarai calon) tetapi ada juga yang belum ini kerana seperti yang sedia maklum ada kawasan yang masih mengekalkan penyandangnya.

Dari segi peratusan kita sudah menerima tidak kurang daripada 80 peratus senarai calon bagi BN. Bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mungkin ada muka baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa BN yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta isteri Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang bertempat di DUN di sini, malam kelmarin.

Menurut Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung PBB, penilaian calon-calon berkenaan bukan sahaja berdasarkan kad laporan prestasi, tetapi juga berdasarkan maklumat daripada semua agensi dan sebagainya.

Kita mahu pilih yang boleh menang, kita perlu menang kerusi dan tiada pilihan,” tegasnya.

Ditanya mengenai penyandang sedia ada yang berhasrat untuk mengundur diri daripada bertanding pada PRU14, katanya, hanya Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Seri James Dawos Mamit berbuat demikian setakat ini kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Beliau memberitahu, Dawos sendiri telah mengesahkan perkara berkenaan tetapi PBB sehingga kini belum memutuskan penggantinya nanti.

Dr Rundi berkata, BN Sarawak sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU14 pada bila-bila masa sahaja malahan ‘war room’ atau ‘bilik perang’ mereka sudah diaktifkan.

Selain Dawos, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut menyatakan hasrat tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Betong.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mengesahkan tidak bertanding pada PRU Ke-14.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menjelaskan, faktor utama beliau tidak bertanding kerana berdasarkan persefahaman di Sarawak tiada seorang pun yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sementara itu pada majlis berbuka puasa, menyaksikan Abang Johari serta isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim daripada Pertubuhan Amal Kebajikan Nur Murni.

Hadir sama Uggah serta isteri Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus.

  • oleh
  • Advertisement