Anda di sini

KPDNKK rampas berus gigi tiruan

Advertisement

Sebuah premis di Bintulu diserbu hasil aduan ibu pejabat di Putrajaya

 Salihin (tengah) bersama Rozaini (kiri), Megawathy (kanan) serta anggota penguat kuasa KPDNKK Bintulu semasa bercakap dalam sidang media mengenai rampasan berus gigi tiruan.
SIDANG MEDIA: Salihin (tengah) bersama Rozaini (kiri), Megawathy (kanan) serta anggota penguat kuasa KPDNKK Bintulu semasa bercakap dalam sidang media mengenai rampasan berus gigi tiruan.

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini merampas berus gigi tiruan dari sebuah premis kerana menyalahi Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Cawangan Bintulu Salihin Den berkata, tindakan itu diambil terhadap sebuah premis di Sungai Plan Bintulu minggu lepas daripada aduan Ibu Pejabat KPDNKK Putrajaya mengenai penjualan berus gigi tiruan tersebut.

Katanya, hasil operasi ke atas premis tersebut didapati aduan tersebut berasas dan telah merampas 15 batang berus gigi disyaki tiruan bernilai RM58 di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Sekiranya sabit kesalahan peniaga yang menyalahi akta itu boleh dikenakan penalti RM10,000 bagi setiap unit barang tiruan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali serta tindakan membawanya ke mahkamah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sidang media di pejabat KPDNKK di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua KPDNKK Cawangan Bintulu Rozaini Roskan dan Megawathy Salleh.

Justeru, katanya, KPDNKK akan menjalankan siasatan lanjut dan menghantar barang kes ini ke Jabatan Kimia untuk dianalisis serta pengadu diminta tampil ke KPDNKK untuk membantu siasatan.

Penjualan barang tiruan ini juga boleh dikompaun dan kami akan membuat siasatan ke atas pembekal dan mengenal pasti syarikat yang membekal barang tersebut sama ada syarikat tersebut sebagai pembekal khusus barang tiruan ataupun tulen.

Perbezaan berus gigi tiruan dan tulen ini didapati hujung bucu pemegang berus gigi tiruan menonjol manakala tulen berbentuk rata,” jelasnya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang terbeli atau terjumpa dengan penjualan berus gigi tiruan ini diseru membuat aduan kepada pejabat KPDNKK sekali gus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak kami supaya tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dapat dijalankan.

Katanya, saranan kepada pengguna yang terbeli berus gigi ini yang mungkin tidak dapat dikembalikan kepada penjualnya, mereka boleh membuat aduan terus kepada KPDNKK.

Mengulas lanjut mengenai kesan penggunaan berus gigi tiruan tersebut katanya, sama ada kesannya memudaratkan tidak dapat dipasti dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Salihin berkata, untuk peniaga diingat agar memastikan barang jualan asli atau tulen serta tidak menjual barang tiruan hanya kerana ingin mengaut keuntungan lebih memandangkan tindakan itu akan membawa tempiasnya kepada pengguna.

Mengenai penjualan barang tiruan atas talian katanya, ia tetap akan dipantau oleh KPDNKK melalui Cybertrooper kementerian untuk tindakan.

Berhubung Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa katanya, ia berjalan lancar dan premis mematuhi peraturan ditetapkan dan ada sesetengah premis menjual di bawah harga siling yang ditetapkan.

Bawang putih antaranya didapati harganya menurun kepada RM8 satu kilogram berbanding RM12 hingga RM18 sebelum ini, namun sekiranya ada peniaga mengambil kesempatan pengguna boleh menyalurkan aduan terus kepada KPDNKK untuk tindakan,” ujarnya.

Jelasnya, untuk bekalan minyak masak pula penting untuk pekilang mendapatkan pensijilan halal memandang minyak masak tanpa sijil halal didapati kurang mendapat sambutan.

Setakat ini terdapat tiga kilang memiliki sijil halal membekalkan sehingga 500 tan metrik minyak masak kepada pengguna sekitar Bintulu.

Kekurangan minyak masak peket pula kemungkinan pembelian dan penggunaan minyak masak banyak oleh peniaga di bazar namun keadaannya dijangka pulih sepenuhnya selepas perayaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement