Anda di sini

FBI siasat ‘terorisme’ di Michigan

Advertisement

Susulan lelaki dari Kanada tikam anggota polis di lapangan terbang

 Penyiasat polis berjalan masuk ke kediaman Ftouhi di Montreal, Quebec, Kanada, kelmarin selepas Ftouhi dikenal pasti sebagai suspek oleh FBI dalam serangan pisau terhadap seorang anggota polis di lapangan terbang di Flint, Michigan. — Gambar Reuters
SIASAT: Penyiasat polis berjalan masuk ke kediaman Ftouhi di Montreal, Quebec, Kanada, kelmarin selepas Ftouhi dikenal pasti sebagai suspek oleh FBI dalam serangan pisau terhadap seorang anggota polis di lapangan terbang di Flint, Michigan. — Gambar Reuters

CHICAGO: Satu serangan pisau terhadap seorang anggota polis di lapangan terbang Michigan kelmarin oleh seorang lelaki yang menjerit ‘Allahuakbar’ sedang disiasat sebagai satu perbuatan terorisme, kata Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bishop, di kota Flint, berlaku di tengah-tengah siri serangan ala pelampau jihad di Eropah, terkini satu serangan bom yang berjaya dipatahkan di sebuah stesen kereta api di Belgium.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti penye-rang yang disyaki, kini dalam tahanan dan bekerjasama dengan penyiasat, sebagai seorang penduduk Kanada berusia 49 tahun dari Quebec bernama Amor Ftouhi.

Kami sedang menyiasat insiden pada hari ini sebagai satu perbuatan terorisme,” kata ejen khas FBI David Gelios pada sidang akhbar, ketika memperincikan tindakan Ftouhi pada pagi kelmarin berdasarkan rakaman kamera keselamatan.

Ftouhi kelihatan berlegar-legar dengan bagasi di sekitar kawasan awam yang tidak ada kawalan keselamatan di lapangan terbang berkenaan, termasuk di sebuah restoran tingkat dua dan sebuah bilik mandi, sebelum dia mengeluarkan pisau dengan bilah bergerigi sepanjang 12 inci sambil menjerit “Allahu-akbar” – “Allah Maha Besar” dalam bahasa Arab – dan menikam seorang anggota polis pada bahagian leher, kata polis.

Dalam serangan itu, Ftouhi “merujuk kepada pembunuhan di Syria, Iraq dan Afghanistan”, menurut satu kenyataan akhbar dari Pejabat Peguam AS bagi Daerah Timur Michigan.

Dia turut menyuarakan “kebencian bagi AS” sewaktu disoal siasat dalam tahanan,” kata Gelios.

Dia memberikan kerja-sama dan sudah bercakap kepada kami tentang motivasi yang mendorongnya,” tambahnya.

Anggota polis yang cedera itu dikenali sebagai Jeff Ne-ville, seorang veteran pasukan polis lapangan terbang selama 16 tahun.

Neville bergelut dengan Ftouhi yang ditindihnya di atas lantai dalam serangan itu sehingga orang lain dapat menahannya, kata polis. Dia dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan yang stabil.

Leftenan Neville tidak berhenti bertarung sehingga saya menggari orang ini,” kata ketua polis lapangan terbang Christopher Miller.

Tiada penumpang cedera dalam serangan kelmarin, kata pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Bishop. Lapangan terbang dikosongkan dan ditutup sehingga jam 5 petang (waktu tempatan).

Ftouhi berdepan dengan tuduhan melakukan tindakan yang ganas di lapangan terbang, dan dijangka dibawa ke mahkamah persekutuan di Flint.

Ketua Peguam AS Jeff Sessions menyebut dalam satu kenyataan bahawa serangan terhadap penguat kuasa undang-undang akan “disiasat dan didakwa di bawah undang-undang sepenuhnya”.

Presiden Trump telah mengutamakan keselamatan semua pegawai penguatkuasaan undang-undang, dan Jabatan Keadilan ini komited kepada matlamat itu,” kata-nya.

Kerakyatan Kanada yang dipegang oleh Ftouhi membawa kepada operasi bersama di Kanada dan AS, ketika pihak berkuasa menyiasat insiden itu.

Media Kanada melaporkan polis memeriksa kediaman Ftouhi di Montreal dan membuat tiga tangkapan yang ada kaitan dengan serangan itu.

Polis menutup bangunan empat tingkat di mana Ftouhi dikatakan tinggal, dalam kawasan Rosemont di Montreal.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan tiga orang, wajah mereka ditutup dengan selimut, sedang dibawa oleh pegawai polis wilayah dan anggota keselamatan Kanada.

Kami sedang menyiasat semua butiran,” kata Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale. “Kanada sudah tentulah mengecam serangan pengecut yang amat kejam ini.”

Memandangkan siasatan masih dijalankan di AS, “kami tidak dapat mengesahkan atau menyebut nama mana-mana suspek”, kata jurucakap polis Montreal, Benoit Boisselle.

Ftouhi memasuki AS secara sah di Lake Champlain, New York pada 16 Jun lalu, kata Gelios.

Flint terletak berhampiran kawasan Detroit yang mempunyai masyarakat Islam Amerika yang besar.

Gabenor Michigan, Rick Snyder mengulas tentang berita mengenai kemungkinan ia ada kaitan dengan terorisme dengan memberi sedikit amaran. 

Malah dengan serangan ini, kita mesti terus mengimbangi keperluan kita bagi keselamatan yang lebih tinggi dengan kefahaman dan toleransi,” tweet Snyder. — AFP

Advertisement