Anda di sini

Dua hadapi tuduhan bunuh mekanik

Advertisement

MIRI: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian seorang mekanik.

Michael Dunggau, 26, dari Jalan Pujut 1, Kampung Sungai Adong dan Elvis Reynoldo Arit, 25, dari Jalan Pujut 4, Terusan 3 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan tentatif, kedua-dua tertuduh telah dituduh mencapai niat bersama untuk melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Fadrick Lukas, 18.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.15 malam hingga 10.45 malam, 14 Jun lalu di hadapan sebuah rumah di Lot 2C/3 Desa Senadin Fasa 2 di sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini sementara menunggu laporan kimia dan laporan perubatan mangsa siap.

Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md Hilmie membenarkan permohonan itu dan menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Terdahulu, mahkamah turut memerintahkan sembilan suspek termasuk lima pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini ditangkap berhubung kes itu dibebaskan dengan bon RM3,000 setiap seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.

Kesemua suspek terbabit akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan kelak.

Advertisement