Anda di sini

Dadah: Lelaki diperintah jalani pengawasan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan oleh pihak berkuasa selama tempoh dua tahun.

Chai Ming Hin, 29, dari Jalan Lawas, Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun serta dikehendaki menjalani pengawasan serta merta selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.40 tengahari, 10 November 2016 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia adalah ketua keluarga serta perlu menyara kedua ibu bapanya.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md Hilmie, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement