Anda di sini

Beberapa lokasi nyala lilin untuk peringati kematian Bill Kayong

Advertisement
 Sebahagian ahli PEDAS dan NGO lain yang hadir menyalakan lilin memperingati Bill, di sebelah lampu isyarat jalan, lokasi kejadian yang berlaku setahun lalu, di Miri.
PERINGATI: Sebahagian ahli PEDAS dan NGO lain yang hadir menyalakan lilin memperingati Bill, di sebelah lampu isyarat jalan, lokasi kejadian yang berlaku setahun lalu, di Miri.

MIRI: Ahli keluarga, rakan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), petang kelmarin menyalakan lilin sebagai menperingati setahun pemergian Bill Kayong.

Acara menyalakan lilin memperingati arwah, diadakan serentak bermula jam 6 petang kelmarin, di beberapa lokasi dan bahagian di seluruh negeri.

Di Miri, hampir 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga Bill, saudara-mara serta rakan termasuk daripada NGO seperti Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS), Terabai Menua (TM), Dayak 360 dan banyak lagi, mengambil bahagian menyalakan lilin memperingati pemergian beliau di kawasan bersebelahan lampu isyarat, lokasi sama Bill ditembak mati dalam kenderaan dipandunya, pada jam 9 pagi, 21 Jun tahun lalu.

Kordinator bagi program tersebut di Miri, Napoleon Lawik juga ahli jawatankuasa tertinggi PEDAS, memberitahu, seramai 300 ahli persatuan itu datang sebagai memperingati Bill juga bekas setiausaha PEDAS dan orang yang bertanggungjawab membantu menubuhkan persatuan tersebut.

Di samping ahli-ahli PEDAS dan ahli keluarga Bill, kami turut menerima sokongan baik daripada rakan-rakan dari NGO lain, yang turut hadir memperingati arwah dan berdoa untuk beliau, agar roh bersemadi dengan aman.

Tetapi bagi kami, perjuangan menuntut keadilan ke atas beliau belum berakhir sehingga individu bertanggungjawab terhadap pembunuhan kejam ini, dibawa ke muka pengadilan,” katanya mewakili Presiden PEDAS, Kapten Collin Imran yang tidak dapat menyertai kerana tugasan luar.

Sementara itu di tempat kelahiran Bill, BETONG, ahli keluarga Bill yang terdiri daripada adik beradiknya, saudara-mara dan rakan serta NGO diketuai Kumpulan Pemikir Dayak (DTTG) Cawangan Betong, menyalakan lilin bagi memperingati Bill di Dataran Tasik Medan.

Naib pengerusi DTTG Betong, George Kayong, yang juga abang Bill, selain ahli keluarga dan ahli-ahli DTTG Betong, rakan ahli ahli kumpulan itu dari Saratok dan Lubok Antu, turut datang menyertai mereka.

Seperti ahli keluarga dan rakan di bahagian lain, kami menyalakan lilin sebagai memperingati pemergian adik saya, genap setahun, bermula jam 6 petang hingga 10 malam.

Kami berdoa agar arwah adik saya bersemadi dengan tenang dan beliau sentiasa kekal di hati kami sebagai seorang wira dan pejuang bangsa serta insan yang kami kasihi,” katanya, ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Di BINTULU, pengerusi DTTG cawangan berkenaan, Agat Sagai, mengetuai NGO dari sekitar kawasan itu bagi acara menyalakan lilin memperingati Bill di hadapan Tugu Council Negri Sarawak.

Menurut Agat, selain DTTG, turut menyertai mereka ialah PEDAS serta TM cawangan Bintulu dan Serakup Kuntau Dayak (SKD).

Di KUCHING, DTTG bekerjasama dengan PEDAS menjayakan acara menyalakan lilin bagi memperingati Bill, yang diadakan Dataran Pahlawan.

Advertisement