Anda di sini

Pengurusan kes saman Najib terhadap Rafizi pada 25 Ogos

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 25 Ogos untuk pengurusan kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita berhubung subsidi minyak.

Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nor Emelia Iszeham yang mewakili Najib dan Rosmah ketika pengurusan kes berkenaan semalam.

Turut hadir peguam Ng Siau Sun yang mewakili Mohd Rafizi dan peguam Joanne Leong mewakili pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.

Joanne memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan rayuan Mohd Rafizi dan Chan  di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembelaan mereka bagi komen adil dalam saman fitnah berkenaan.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohd Rafizi dan Chan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan tersebut.

Pada 29 Nov 2016, Najib dan isterinya berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pembelaan defendan bahawa ia merupakan komen yang adil, dalam saman fitnah itu. — Bernama

Advertisement