Anda di sini

80 peratus mangsa rogol adalah di bawah umur

Advertisement

#SayaSayangSaya wadah remaja tingkat kesedaran tentang pemangsa atas talian serta lindungi diri

 Ling (dua kanan) dan Rabiathul (kiri) serta speaker jemputan forum #SayaSayangSaya merakamkan kenangan.
TINGKAT KESEDARAN: Ling (dua kanan) dan Rabiathul (kiri) serta speaker jemputan forum #SayaSayangSaya merakamkan kenangan.

KUCHING: Dianggarkan 80 peratus daripada mangsa rogol yang berlaku sejak dua tahun lepas termasuk di Sarawak adalah mereka di bawah umur.

Sebagai contoh, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2015 dan 2016 masing-masing mencatatkan lebih 150 kes dengan 80 peratus mangsa daripada kedua-duanya adalah mereka di bawah umur.

Malah, setakat tahun ini di Sarawak, 68 kes rogol dicatatkan dengan 80 peratus daripada mereka juga adalah berusia di bawah umur.

Menyedari perkara itu, empat organisasi iaitu DiGi Telecommunication Sdn Bhd bersama R.AGE, Women:girls dan Unicef serta disokong Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan PDRM menganjurkan program #SayaSayangSaya.

Pengurus Program DiGi bagi DiGi CyberSAFE Philip Ling berkata, program #SayaSayangSaya diadakan untuk menjadi wadah kepada golongan remaja meningkatkan kesedaran tentang pemangsa atas talian (cybergrooming) serta melindungi diri daripada menjadi mangsa seksual.

Tujuan kita adalah untuk memberi maklumat serta mendapatkan pendapat mereka tentang kesihatan serta pendidikan seksual yang betul.

Ini untuk mendedahkan mereka bagaimana melindungi diri daripada pemangsa atau tindakan yang perlu diambil apabila melalui situasi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas forum bersama pelajar daripada 38 sekolah di bandar raya ini yang menyertai program #SayaSayangSaya di sini, semalam.

Ling berkata, menurut statistik Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, PDRM bersama DiGi CyberSAFE hasil daripada Kajian Kebangsaan di Sekolah pada tahun 2015 mendapati seorang daripada sepuluh kanak-kanak diminta memuat naik gambar intim atau video mereka di Internet.

Katanya, apa yang paling membimbangkan juga peningkatan hampir 300 peratus kes rogol di Malaysia pada tahun 2010 dan 2015 adalah bermula dari Internet.

Hampir 80 peratus pula kes rogol yang dilaporkan di Malaysia sejak dua tahun lepas melibatkan kenalan di Internet dengan majoriti mangsa adalah di bawah 18 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Khidmat Program FRHAM Rabiathul Badariah berkata, kelemahan buat masa ini ialah pendedahan tentang seksual kepada golongan kanak-kanak dan remaja masih tidak memadai.

Tanggapan masyarakat yang berasa malu apabila didedahkan dengan perkara sebenar tentang seksual sepatutnya dikikis kerana kini, kebanyakan remaja yang menjadi mangsa memberitahu mereka tidak tahu apa erti sebenar seksual.

Kita perlu memberitahu perkara sebenar kepada mereka secara semula jadi kerana apa yang didedahkan dalam modul pendidikan mereka tidak sepenuhnya.

Ini tidak bermakna kita memberi galakan seks kepada mereka, sebaliknya memberitahu mereka perkara sebenar agar mereka menyedari betapa pentingnya melindungi diri,” katanya.

Program #SayaSayangSaya semalam disertai 144 pelajar sekolah menengah. Sebelum ini sesi sama diadakan di Sabah, Terengganu dan Pahang dengan menyasarkan sejumlah 170 sekolah.

  • oleh
  • Advertisement